
KOTA KINABALU – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan selepas beberapa jam ditemukan masih bernyawa di kawasan Taman Awam Teluk Likas oleh orang awam, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan bayi itu kira-kira pukul 6.30 pagi.
“Bayi masih bernyawa, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipercayai baharu beberapa jam lahir.
“Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada saksi mata yang melihat kejadian itu dan tiada kemudahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
“Polis turut memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan individu yang bertanggungjawab sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diseru supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes SM Rosmah Pg Hasim di talian 011-31677612.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat.






