
PUTRAJAYA – Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai satu perkembangan bersejarah yang membuka lembaran baharu kepada perjuangan demokrasi kampus dan autonomi mahasiswa di negara ini.
Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Lee Wen Qua berkata, keputusan itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi institusi pengajian tinggi, selain menjadi perkembangan penting dalam perjuangan mahasiswa yang sudah berlangsung sejak beberapa generasi.
Menurut beliau, AUKU sejak sekian lama dianggap gerakan mahasiswa sebagai antara belenggu institusi utama yang mengehadkan ruang demokrasi kampus, pemerintahan kendiri mahasiswa dan kebebasan akademik.
“AUKU telah lama dianggap oleh gerakan mahasiswa sebagai salah satu belenggu institusi utama yang menyekat demokrasi kampus, pemerintahan kendiri mahasiswa dan kebebasan akademik.
“Walaupun kerajaan terdahulu, termasuk kerajaan MADANI, telah beberapa kali meminda peruntukan berkaitan, sekatan institusi yang dihadapi mahasiswa, campur tangan pentadbiran universiti serta budaya konservatif yang telah lama berakar dalam kampus tidak pernah benar-benar lenyap hanya melalui pindaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Wen Qua menjelaskan, ia tidak dapat dinafikan merupakan satu perkembangan yang bersejarah dan kemenangan besar hasil perjuangan berterusan generasi demi generasi pemimpin mahasiswa yang tidak pernah berhenti memperjuangkan gagasan ‘Demokrasi Kampus, Autonomi Mahasiswa’.
Sehubungan itu, Wen Qua berpandangan keputusan untuk memansuhkan AUKU merupakan langkah lebih besar dalam usaha Kerajaan MADANI membawa reformasi yang menyeluruh terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
Bagaimanapun, Wen Qua menegaskan pemansuhan akta berkenaan perlu diteruskan dengan proses perundangan yang telus serta penggubalan kerangka baharu yang benar-benar menjamin autonomi mahasiswa dan universiti.
“Berkenaan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Ser Anwar Ibrahim memansuhkan AUKU, kami ingin menegaskan bahawa ini merupakan hasil perjuangan gerakan mahasiswa yang terkumpul selama bertahun-tahun, bukannya suatu pemberian atau ihsan diberikan secara sepihak oleh mana-mana kerajaan kepada mahasiswa.
“UMANY menggesa kerajaan supaya mengumumkan garis masa bagi pemansuhan AUKU, proses perundangan yang akan dilaksanakan serta pelan menyeluruh untuk menggantikan kerangka sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMANY turut mahu memastikan reformasi yang pernah diumumkan kerajaan sebelum ini, termasuk autonomi kewangan lebih besar kepada organisasi mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh.
Tambah beliau, tahap pelaksanaan reformasi berkenaan masih berbeza antara universiti sehingga kini, dengan sesetengah organisasi mahasiswa masih berdepan prosedur pentadbiran yang rumit.
“Sehingga hari ini, tahap pelaksanaan reformasi itu masih berbeza antara universiti. Sesetengah organisasi mahasiswa masih berdepan sekatan akibat prosedur pentadbiran yang rumit serta kuasa universiti dalam aspek pengurusan kewangan, kutipan dana dan kelulusan aktiviti.
“Pada Jun 2026, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut memulakan siasatan tatatertib terhadap dua pelajar yang menyertai tindakan solidariti menyokong penduduk kampung yang mengadakan bantahan, berdasarkan Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Sabah) (Tatatertib Pelajar) 2024.
“Jika kerajaan sekadar mansuh nama AUKU tapi biarkan sekatan pada mahasiswa diteruskan dalam bentuk lain membenarkan budaya kawalan, struktur kuasa dan mekanisme pentadbiran menyekat kebebasan pelajar terus wujud dalam bentuk lain, maka apa yang digelar sebagai ‘pemansuhan AUKU’ akhirnya hanya akan menjadi reformati,” katanya.
Wen Qua berkata, memandangkan kerajaan sendiri mengakui bahawa kerangka perundangan sedia ada perlu dimansuhkan, pentadbiran universiti tidak seharusnya lagi penggunakan kawalan lama dalam berurusan dengan mahasiswa
Sehubungan itu, jelasnya, pihaknya berharap pemansuhan AUKU bukan sekadar perubahan pada kerangka perundangan, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pembentukan ekosistem universiti yang lebih demokratik, autonomi dan terbuka, selari dengan aspirasi reformasi Kerajaan MADANI.
“UMANY menggesa institusi pengajian tinggi di seluruh negara menyahut hala tuju reformasi kerajaan segera meneliti semula dan menarik balik semua tindakan tatatertib, siasatan serta langkah-langkah lain yang diambil terhadap pelajar kerana menyuarakan pandangan, menyertai perhimpunan aman, menganjurkan aktiviti, terlibat dalam isu-isu awam atau melaksanakan hak asasi mereka sebagai warganegara.
“Kami turut menyeru pertubuhan pelajar, gerakan mahasiswa, organisasi masyarakat sivil dan semua pihak yang sekian lama memperjuangkan reformasi pendidikan tinggi supaya dalam menyambut baik pengumuman tersebut, terus mengekalkan kebebasan serta menjalankan peranan semak dan imbang untuk memantau kerajaan,” katanya.
Tambahnya, matlamat gerakan mahasiswa tidak pernah terhad kepada pemansuhan satu undang-undang semata-mata, namun demi membina sistem pendidikan tinggi yang benar-benar menghormati hak mahasiswa, autonomi universiti di samping kebebasan akademik
UMANY yang sebelum ini turut menjadi ahli Jawatankuasa Pemansuhan AUKU. Tuntutan yang kami kemukan ketika itu tidak pernah sekadar untuk menghapuskan AUKU daripada kerangka perundangan negara.
“Sebaliknya, kami menuntut supaya AUKU digantikan dengan satu Akta Pendidikan Tinggi baharu yang berteraskan nilai kebebasan, bagi membina semula hubungan antara negara, universiti dan mahasiswa, serta merealisasikan prinsip sebenar “Demokrasi Kampus, Autonomi Mahasiswa,” katanya.





