
LIMBANG – Penyerahan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada komuniti setempat di Batu Danau dilihat membantu meringankan beban golongan memerlukan menjelang sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Datuk Paulus Palu Ngumbang berkata, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan sektor swasta terhadap kebajikan masyarakat setempat selain mengeratkan hubungan antara pihak korporat dengan komuniti.
Menurut beliau, pelaksanaan program CSR secara berterusan setiap tahun membuktikan komitmen syarikat dalam menyumbang kembali kepada masyarakat serta memperkukuh kerjasama harmoni antara komuniti pelbagai kaum di kawasan Batu Danau dan daerah Limbang.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak Lee Ling Timber Sdn. Bhd. atas sumbangan yang disalurkan sempena sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu.
“Inisiatif seperti ini amat bermakna dalam menyantuni masyarakat menjelang musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2026 yang berlangsung di Dewan Bunga Raya Limbang pada Khamis.
Tambah beliau, kerjasama strategik antara sektor swasta dengan kepemimpinan tempatan penting bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan seimbang selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan bukan sahaja berbentuk bantuan material, malah membawa mesej kebersamaan, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.
“Semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada para penerima serta menghadirkan kegembiraan kepada mereka dalam menyambut Hari Natal dan Tahun Baharu 2026,” katanya.

Majlis tersebut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada penerima terpilih daripada kalangan komuniti setempat termasuk golongan kurang berkemampuan, sebagai usaha meringankan beban mereka menjelang musim perayaan.







