Amalan politik wang dinormalisasi, masa depan Sabah tergadai

KINABATANGAN – Politik wang di Sabah bukan lagi sekadar khabar angin, sebaliknya disifatkan sebagai satu racun yang ditelan secara sukarela apabila amalan itu semakin dinormalisasi dan diterima seolah-olah menjadi harga bagi sebuah undi.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd. Naim Kurniawan Moktar yang juga Bendahari Pemuda UMNO Malaysia berkata, fenomena tersebut merupakan satu ‘open secret’ yang diamalkan secara terbuka setiap kali menjelang pilihan raya.

Menurutnya, pemberian wang bukan dilakukan atas dasar keikhlasan manakala penerima pula menuntut tanpa rasa bersalah sehingga ungkapan ‘tiada duit, tiada undi’ seakan-akan menjadi slogan tidak rasmi dalam landskap politik negeri ini.

“Keadaan ini menggambarkan seolah-olah maruah boleh ditimbang dengan wang kertas dan masa depan boleh ditebus secara tunai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai perbelanjaan besar yang didakwa mencecah ratusan juta ringgit oleh sesetengah pihak semata-mata untuk memenuhi kehendak pengundi.

“Jangan kita pura-pura naif dan menganggap wang itu sebagai sedekah.

“Hakikatnya, ia adalah pelaburan calon yang bertanding.

“Apabila kuasa diperoleh, Sabah akan diperah untuk memulangkan semula modal yang telah dibakar,” katanya.

Mohd. Naim berkata, kesan sebenar politik wang tidak dirasai pada hari pengundian, sebaliknya sepanjang tempoh pemerintahan apabila rakyat terpaksa membayar harga yang mahal akibat keputusan yang dibuat.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ukuran seorang wakil rakyat tidak lagi berdasarkan kejujuran dan khidmat bakti, sebaliknya kepada kemampuan menghulurkan wang kepada pengundi.

“Akibatnya, calon yang berwibawa, bersih dan berwawasan tersingkir bukan kerana gagal berkhidmat, tetapi kerana gagal bersaing dalam pesta membeli sokongan,” ujarnya.

Tambah beliau, realiti pahit yang perlu diterima ialah wakil rakyat yang benar-benar telus lazimnya tidak akan menjadi kaya-raya kerana kekayaan luar biasa sering dikaitkan dengan projek, rundingan dan kepentingan kuasa.

Sehubungan itu, beliau menyatakan selagi politik wang terus diraikan dalam setiap pilihan raya, selagi itulah Sabah akan kekal kaya dengan sumber tetapi miskin dari segi masa depan.

“Pada akhirnya, jangan kita salahkan pemimpin semata-mata kerana apabila undi dijual, hak untuk menuntut perubahan juga turut tergadai,” katanya.

Related Posts

45 asnaf sekitar Mukah terima sumbangan Saberkas Prihatin

MUKAH – Kebajikan golongan kurang berkemampuan di daerah ini terus terbela apabila 45 individu menerima sumbangan menerusi Program Jelajah Saberkas Prihatin Sarawak Zon Mukah pada Jumaat.  Inisiatif murni bermula seawal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

BN pertaruh manifesto berteraskan sembilan fokus utama

BN pertaruh manifesto berteraskan sembilan fokus utama

Kerjasama BN-PN ibarat Titanic, tunggu masa karam – Hannah Yeoh

Kerjasama BN-PN ibarat Titanic, tunggu masa karam – Hannah Yeoh

45 asnaf sekitar Mukah terima sumbangan Saberkas Prihatin

45 asnaf sekitar Mukah terima sumbangan Saberkas Prihatin

Tender semula BELB RM30 juta, jamin bekalan elektrik stabil – Andi Suryady

Tender semula BELB RM30 juta, jamin bekalan elektrik stabil – Andi Suryady

Kebun buah, rumah stor jadi lokasi simpan senjata RM360,000

Kebun buah, rumah stor jadi lokasi simpan senjata RM360,000

Klopp rasmi pengendali baharu Jerman

Klopp rasmi pengendali baharu Jerman