Penyatuan STPM, Matrikulasi bawah KPT langkah strategik mantapkan laluan prauniversiti

PUTRAJAYA – Penyatuan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta matrikulasi di bawah ekosistem Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disifatkan reformasi menyeluruh, bukan sekadar penyusunan semula pentadbiran.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh penyelarasan penilaian, menyeragamkan standard akademik dan meningkatkan keberkesanan laluan prauniversiti ke peringkat pengajian tinggi.

Katanya, pemindahan itu turut digariskan sebagai antara strategi utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026–2035 bagi memastikan sistem prauniversiti lebih terarah, seragam dan selaras dengan keperluan universiti negara.

“Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menjelaskan bahawa pengambilalihan ini merupakan sebahagian daripada usaha pembaharuan utama yang akan dilaksanakan secara rasmi dalam masa terdekat.

“Inisiatif itu bertujuan memantapkan keserasian sistem prauniversiti dengan keperluan pendidikan tinggi negara, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan berdaya saing, berdisiplin dan memenuhi tuntutan pasaran kerja global,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Dalam konteks penyelarasan tersebut, Mohd Yusri berpandangan, kepentingan mengintegrasikan STPM tahfiz di bawah KPT tidak wajar dipandang ringan berikutan peperiksaan itu yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Islam (BPI) merupakan program integratif yang menggabungkan hafazan al-Quran dan subjek akademik STPM yang lain.

Jelasnya, program tersebut telah terbukti melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki disiplin rohani, pembinaan sahsiah unggul dan potensi kepimpinan yang seimbang.

“Penyertaan STPM tahfiz di bawah KPT akan memastikan program ini diberi pengiktirafan sewajarnya, setara dengan aliran akademik lain, serta membolehkan pelajar tahfiz bersaing secara adil dalam sistem prauniversiti negara.

“Penyatuan STPM, matrikulasi dan STPM tahfiz di bawah ekosistem KPT membuka ruang kepada penambahbaikan kurikulum secara menyeluruh, penyelarasan standard penilaian lebih konsisten dan pemantapan kecekapan pentadbiran.

“Usaha itu memastikan semua aliran prauniversiti, termasuk tahfiz, mendapat pengiktirafan setara dan peluang adil dalam laluan ke pendidikan tinggi, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang berkualiti, berintegriti dan responsif terhadap tuntutan abad ke-21,” katanya.

Tambah beliau, pengarusperdanaan STPM tahfiz di bawah KPT merupakan langkah strategik yang dapat memastikan penyelarasan laluan prauniversiti lebih mantap, pengiktirafan setara bagi semua aliran pendidikan dan pembangunan pelajar yang seimbang dari aspek intelektual, rohani serta sahsiah.

“Pelaksanaan terancang disertai sokongan kolektif semua pihak diyakini mampu memperkukuh sistem pendidikan prauniversiti negara serta meningkatkan daya saing pelajar Malaysia di pentas global,” katanya.

Terdahulu, cadangan kerajaan untuk memindahkan program STPM dan matrikulasi daripada KPM ke KPT masih di peringkat awal dan memerlukan proses yang panjang termasuk pindaan akta sedia ada.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu merupakan sebahagian perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual bermula pada 2026.

Related Posts

PRN Johor, Negeri Sembilan: AMK harap lebih ramai calon muda diberi peluang bertanding

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berharap lebih ramai calon muda diberikan peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang akan berlangsung tidak lama…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bekalan tenaga kini cabaran besar dunia – PMX

SIPITANG – Isu bekalan tenaga kini menjadi antara cabaran terbesar yang dihadapi banyak negara di seluruh dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, ketidak tentuan geopolitik dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor, Negeri Sembilan: AMK harap lebih ramai calon muda diberi peluang bertanding

PRN Johor, Negeri Sembilan: AMK harap lebih ramai calon muda diberi peluang bertanding

Bekalan tenaga kini cabaran besar dunia – PMX

Bekalan tenaga kini cabaran besar dunia – PMX

Anwar tegaskan keutamaan pembangunan Sabah termasuk daerah terpencil

Anwar tegaskan keutamaan pembangunan Sabah termasuk daerah terpencil

Platform media sosial perlu bertindak pantas kekang berita palsu menjelang PRN – Fahmi

Platform media sosial perlu bertindak pantas kekang berita palsu menjelang PRN – Fahmi

PRN Sarawak: Komuniti Ngemah diseru terus bersatu padu

PRN Sarawak: Komuniti Ngemah diseru terus bersatu padu

Gadis pengsan ketika mendaki bukit bersama 18 rakan

Gadis pengsan ketika mendaki bukit bersama 18 rakan