Perpaduan rentas agama pemacu pembangunan Sarawak – Awang Tengah

LIMBANG – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menegaskan keharmonian antara penganut pelbagai agama di Sarawak perlu terus dipelihara melalui sikap saling memahami dan menghormati kepercayaan masing-masing.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengurus kepelbagaian agama, berlandaskan toleransi tinggi dan persefahaman yang telah lama menjadi amalan masyarakat negeri ini.

“Di Sarawak, kita memilih jalan keharmonian. Setiap penganut agama bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan aman tanpa menimbulkan rasa curiga atau permusuhan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan St Edmund, Limbang pada Sabtu. 

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kekuatan Sarawak terletak pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang, sekali gus menjadikan negeri ini unik berbanding negeri-negeri lain.

“Kepelbagaian ini bukan untuk dipertikaikan, sebaliknya diraikan dan disyukuri sebagai anugerah Tuhan Yang Maha Esa. Apa yang penting, setiap agama dianuti dengan baik tanpa wujud unsur benci, menghina atau mempersendakan kepercayaan pihak lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut menegaskan bahawa semua isu berkaitan agama perlu ditangani secara berhemah dan berpaksikan kepada semangat perpaduan, bukannya dijadikan bahan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Sarawak tidak membangun hanya dari segi fizikal, tetapi juga dari segi nilai. Keharmonian yang kita nikmati hari ini adalah hasil sikap saling menghormati yang diamalkan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau menambah, kemajuan pesat Sarawak hari ini turut didorong oleh kerjasama erat rakyat berbilang kaum dan agama yang bersatu padu dalam membangunkan negeri.

“Bagi tahun 2026, Kerajaan Sarawak menyediakan bajet melebihi RM3 bilion bagi meneruskan pembangunan negeri merangkumi pembangunan fizikal, selain memperkukuh sektor kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada pembangunan nilai keagamaan pelbagai agama melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNiFOR), menjadikan Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai badan khas bagi membantu hal ehwal keagamaan bukan Islam.

“Pendekatan ini berteraskan keadilan dan keseimbangan, supaya setiap agama dapat berkembang dalam suasana aman dan saling menghormati,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar berwaspada terhadap sebarang cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah atau propaganda untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.

“Jangan beri ruang kepada pihak yang mahu merosakkan keharmonian yang telah kita bina bersama di Sarawak,” tegasnya.

Related Posts

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

ALOR SETAR – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencatat sejarah sebagai kerabat diraja pertama yang menjalani dan menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di Kolej Tentera Udara (KTU),…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

LIMBANG – Masyarakat di kawasan perbatasan digesa untuk memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP