
KUCHING – Seramai 18 ahli Kelab Digital Warga Emas Kuching (Diwarmas) menyertai program lawatan dan pendedahan penggunaan pengangkutan awam ke Serian dengan menaiki perkhidmatan bas BAS.MY pada Sabtu.
Peserta berkumpul di stesen bas berhadapan Electra House dan kawasan Open Air, Kuching sebelum memulakan perjalanan ke Serian, sekali gus memberi pengalaman langsung kepada warga emas mengenai kemudahan pengangkutan awam yang disediakan kerajaan.
BAS.MY merupakan jenama perkhidmatan bas berhenti-henti di bawah inisiatif Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (Stage Bus Service Transformation, SBST) oleh kerajaan Persekutuan yang diperkenalkan bagi menambah baik perkhidmatan bas agar lebih efisien, selesa dan boleh diharap, khususnya di luar Lembah Klang termasuk Sarawak.
Program ini bertujuan memperkasa kesejahteraan warga emas melalui pendedahan terhadap sistem pengangkutan awam yang bersih, selesa dan mesra pengguna, selaras dengan usaha kerajaan membangunkan sistem mobiliti yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Menurut ahli Diwarmas, Harlisa Fazari, perkhidmatan BAS.MY menawarkan pelbagai kemudahan tambahan yang diselenggara dengan baik, terutamanya dari aspek kebersihan dan keselesaan.
“Bas BAS.MY dilengkapi port pengecas USB yang membolehkan penumpang mengecas telefon bimbit atau peranti lain sepanjang perjalanan. Kemudahan ini amat membantu, sama ada untuk perjalanan harian atau jarak jauh,” katanya.
Sementara itu, ahli Diwarmas, Zaiton Jemain teruja untuk kembali menggunakan perkhidmatan BAS.MY berikutan tahap keselesaan yang tinggi.
“Perkhidmatan ini sangat selesa dan memberi keyakinan kepada kami sebagai warga emas untuk terus bergerak serta meluangkan masa di luar,” ujarnya.
Ahli Diwarmas, Dayang Rubbie Abg Paul pula menyifatkan kemudahan BAS.MY jauh berbeza berbanding perkhidmatan bas sebelum ini, khususnya dari segi keprihatinan terhadap keperluan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung.
“Reka bentuk serta perkhidmatannya lebih mesra pengguna dan jelas mengambil kira keperluan golongan memerlukan,” katanya.
Selain itu, penggunaan Kad Warga Emas BAS.MY turut memberi manfaat besar kepada peserta apabila memudahkan urusan pembayaran tambang secara tanpa tunai, selain lebih cepat dan teratur. Kemudahan ini dilihat membantu golongan pesara merancang perjalanan harian dengan lebih yakin.
Sepanjang perjalanan, peserta turut teruja apabila mengetahui laluan bas ke Serian melalui Pusat Jantung Samarahan, sekali gus memudahkan akses ke fasiliti kesihatan utama tanpa perlu pertukaran bas. Laluan berkenaan juga melalui hospital, pusat kesihatan, institusi pendidikan dan kawasan komersial dari Kuching ke Serian.
Menariknya, terdapat peserta yang memaklumkan mereka menaiki bas sekadar untuk bersarapan dan meluangkan masa di Serian sebelum pulang semula ke Kuching pada hari yang sama.
Dengan kadar tambang mampu milik serta penggunaan Kad Warga Emas BAS.MY, perkhidmatan ini menjadi pilihan praktikal bagi warga emas untuk bersosial tanpa beban kewangan.

Dari sudut kesejahteraan, program seumpama ini dilihat membantu mengurangkan rasa sunyi dan tekanan selain meningkatkan keyakinan diri melalui interaksi sosial.
Aktiviti bergerak keluar rumah dan berjalan ke stesen bas juga menyumbang kepada gaya hidup lebih aktif dan sihat dalam kalangan warga emas.
Secara keseluruhan, program ini membuktikan inisiatif kerajaan melalui SBST dan BAS.MY mampu meningkatkan kualiti hidup warga emas, sekali gus menyokong tempoh persaraan yang lebih aktif, bermakna dan sejahtera.







