
PERGOLAKAN dalaman Perikatan Nasional (PN) terus ketara apabila parti komponennya, Pas dilihat tidak lagi meyakini kepimpinan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurut pemerhati politik, Raggie Jessy Rithauddin.
Dalam siaran langsung di Facebook, beliau merujuk pertentangan kenyataan antara Muhyiddin dan Pas berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang memenangi kerusi itu atas tiket PN.
Muhyiddin sebelum ini menegaskan PN akan bertindak sebagai penyokong di Sabah, namun Pas melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengumumkan bahawa Aliakbar akan menyokong kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Raggie menyifatkan tindakan Pas itu sebagai gambaran nyata bahawa arahan pengerusi PN tidak lagi dihormati oleh parti komponen.
“Ini mesej yang sangat jelas. Komponen PN sudah tidak yakin dengan Muhyiddin. Pengerusi buat keputusan, tetapi Pas mengumumkan pendirian bertentangan. Ia menunjukkan arahan itu tidak lagi mempunyai nilai dalam gabungan,” katanya.

Menurutnya, perbezaan pendirian terbuka itu membuktikan PN kini beroperasi tanpa kesepaduan kepimpinan.
“Ini bukan tanda-tanda awal perpecahan. PN memang telah berpecah. Jika Pengerusi sendiri tidak dihormati, bagaimana PN mahu bergerak sebagai satu entiti politik?” katanya.
Raggie menambah, ketiadaan keyakinan terhadap Muhyiddin turut menjelaskan mengapa PN sering dilihat tidak mempunyai strategi politik yang konsisten.
“Strategis dalam PN tidak lagi bersemangat kerana apa sahaja strategi yang mengukuhkan PN secara automatik akan mengukuhkan kedudukan seorang pengerusi yang mereka sendiri tidak sokong. Akhirnya semua bergerak mengikut haluan masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengulas bahawa keadaan di Sabah termasuk kemenangan Aliakbar yang dikaitkan dengan hubungan awal bersama Hajiji membuktikan parti komponen PN lebih selesa membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepimpinan pusat.
“Pas bergerak sendiri, Bersatu bergerak sendiri. Itu tanda bahawa keyakinan kepada Muhyiddin sudah hilang. Sabah hanya contoh yang paling jelas,” katanya.
Raggie menegaskan situasi berkenaan menjadi petunjuk awal betapa lemahnya kedudukan PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Jika keyakinan terhadap Pengerusi sendiri pun tiada, sukar untuk PN mencabar kerajaan sedia ada pada pilihan raya akan datang,” katanya.


