
POLITIK Kedah minggu-minggu kebelakangan ini memang hangat dan bukan hangat kerana dasar atau idea, tetapi kerana satu demi satu kes mahkamah yang menyeret pemimpin negeri Merong Mahawangsa itu ke muka pengadilan.
Ibarat kain yang lama disorok, semakin ditarik semakin banyak habuk yang terbang.
Kes Afnan Hamimi Taib Azamudden dikatakan meletup apabila mahkamah yang mengarahkan Ahli Parlimen Alor Setar itu membayar RM115,000 kerana kalah dalam kes fitnah terhadap seorang wanita, Nini Seron.
Ironinya, Afnan adalah Ketua Pemuda Pas Malaysia. Sayap yang sering melaungkan perjuangan Islam, akhlak, dan moral tinggi. Namun, apabila mahkamah memutuskan beliau bersalah, yang muncul bukannya taubat, bukan permohonan maaf, malah sikap engkar dan berdiam diri.
Tindakan itu bukan sekadar mengikis imej beliau sebagai ahli parlimen, malah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warga Alor Setar.
Lebih memilukan, individu yang difitnah bukan ahli politik, tidak punya jentera media sosial, tidak punya bala tentera propaganda.
Namun, Nini Seron memilih untuk bangkit. Dengan keberanian seorang wanita biasa melawan seorang pemimpin yang petah berpidato, akhirnya keadilan memihak kepadanya.
Sebuah kemenangan moral dan sebuah tamparan pedih buat mereka yang suka berselindung di balik slogan agama.
Belum reda kisah Afnan, muncul pula babak baharu, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, dikhabarkan akan didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam berhubung kes rasuah melibatkan projek fidlot.
PN selama ini mengangkat naratif parti mereka adalah ‘bersih’, ‘berintegriti’ dan ‘antirasuah’. Tetapi apabila seorang demi seorang pemimpinnya diheret ke mahkamah, rakyat mula bertanya:
Bersih itu realiti atau sekadar kosmetik politik?
Jika kes itu membuktikan kesalahan, ia bakal menjadi rekahan besar dalam imej politik Kedah, khususnya blok pembangkang yang sering menuduh orang lain korup tetapi kini bergelut dengan bayang-bayang sendiri.
Tidak hairanlah mula kedengaran sindiran rakyat adakah ini hasil qunut nazilah ke? Doa makan diri?”
Dalam hiruk-pikuk dua kes besar itu, satu lagi cerita mula meniti dari mulut ke mulut mengenai seorang pemimpin negeri yang dikatakan membina kediaman bak istana, mencetuskan persoalan.
Dari mana datangnya kemampuan luar biasa itu?
Rakyat Alor Setar sudah mula menghidu sesuatu. Dan seperti biasa, apabila asap semakin tebal, logiknya ada api yang menunggu masa untuk marak.
Gelombang skandal yang melanda Kedah bukan lagi terpencil. Ia sudah menjadi pola iaitu satu demi satu terbongkar, satu demi satu menjatuhkan imej mereka yang selalu mendabik dada sebagai pejuang moral dan Islam.
Persoalannya kini bukan adakah lagi kes yang akan muncul, tetapi siapa pula yang akan kena?





