
KALABAKAN – Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas dan tidak berkompromi terhadap isu salah guna kuasa tanpa mengira latar belakang dan jawatan.
Menurut Anwar, sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan walaupun pegawainya sendiri, siasatan perlu dilakukan.
“Tidak kira kamu Tun, Tan Sri, Datuk atau orang besar, kalau ada masalah ataupun kamu itu pegawai saya, ada sahaja kesalahan mesti disiasat.
“Kalau salah mesti ditangkap,” katanya semasa berucap Fiesta Demi Merotai Harapan Urang Sabah di Dewan Terbuka Merotai Besar di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan tidak melindungi mana-mana pegawai apabila berdepan dakwaan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak SPRM.
“Dulu Perdana Menteri, Menteri kalau ada pegawainya dituduh, dia ‘cover up’.
“Saya ada setiausaha politik didakwa, saya bagitahu pagi tadi, SPRM siasat saya tidak peduli.
“Tapi jangan hukum dulu, siasat dulu kerana kita ikut undang-undang” ujarnya.






