
TENOM – Calon PH DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menafikan sekeras-kerasnya poster fitnah yang sedang tular mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan menghina atau menolak undi mana-mana kaum di Melalap.
Tegasnya, poster berkenaan adalah palsu, berniat jahat dan sengaja direka untuk menghasut perpecahan antara masyarakat Murut, Cina dan komuniti lain di Melalap menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Jamawi menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan dalam poster tersebut.
“Sebaliknya, Datuk Jamawi sejak dahulu lagi konsisten membawa mesej perpaduan ‘Melalap untuk semua’ serta bekerja rapat dengan masyarakat Murut, Cina, Iban, Kadazan, Melayu dan semua etnik tanpa sebarang perbezaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Khamis.
Tambahnya, fitnah berbentuk manipulasi gambar yang disebarkan tersebut jelas merupakan cubaan pihak lawan untuk menghilangkan sokongan rakyat, terutama setelah melihat semakin ramai komuniti pelbagai kaum berdiri bersamanya pada PRN kali ini.





