
KOTA KINABALU – Projek tebatan banjir fasa dua Kampung Rampayan, Sepanggar perlu diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi menangani masalah banjir yang berulang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Ekonomi bagi memastikan pelaksanaan projek itu dapat dipercepatkan.
“Saya sendiri telah berbincang dengan Menteri Ekonomi untuk memastikan fasa dua ini dapat dipercepatkan.
“Projek tebatan banjir fasa dua Kampung Rampayan sudah diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan tahun lepas bagi menyambung fasa pertama yang hampir siap.
“Jadi kita harap dengan fasa dua ini akan menyelesaikan masalah banjir berulang di Kampung Rampayan terutamanya dan juga kampung-kampung yang sekitar sepanjang Sungai Rampayan ini. Jadi ini yang kita harapkan,”katanya katanya ketika ditemui media selepas Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Banjir di Kampung Rampayan, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mustapha berkata usaha turut dilakukan bagi merealisasikan bangunan tambahan untuk Sekolah Kebangsaan Rampayan yang terjejas akibat kejadian banjir berulang.
Jelasnya, keadaan itu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.
“Selain daripada yang juga disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tentang bangunan tambahan untuk SK Rampayan, yang memang amat terjejas dari segi pelajaran dan pengajaran disebabkan banjir yang berulang kali melanda sekolah tersebut.
“Jadi ini antara yang kita sedang usahakan,” kongsinya.
Terdahulu, Mustapha turut menyampaikan sumbangan kepada 643 mangsa banjir di Kampung Rampayan yang berdaftar susulan kejadian banjir kilat baru-baru ini.
“Sumbangan berjumlah RM128,600 itu disalurkan menerusi Pejabat Perdana Menteri, manakala bantuan lain turut disediakan NADMA dan Kerajaan Negeri Sabah,” ujarnya.





