
TAWAU – BN berkeyakinan parti mampu mencapai keputusan positif pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kali ini dengan penawaran enam teras utama bagi memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan rekod pentadbiran BN ketika menerajui Sabah sebelum ini, terdapat isyarat bahawa sebahagian rakyat masih merindui kestabilan serta pembangunan yang pernah dilaksanakan.
“Bergantung kepada sokongan pengundi di Sabah untuk kembalikan kegemilangan BN kerana berdasakan ‘track record’, kita tahu bahawa rakyat rindukan BN semula dan dalam manifesto itu kita tegaskan enam teras yang sangat diperlukan rakyat Sabah.
“Insya-Allah komitmen kami walaupun di Putrajaya kita hanya sebahagian kerajaan, tapi tujuh Menteri dan enam Timbalan Menteri dari BN menunjukkan prestasi yang baik serta menjalankan semua agenda kementerian dan MADANI,” katanya kepada media pada program Sentuhan Kasih Desa @ Tanjung Batu, di Kompleks Sukan, di sini, pada Selasa.

Menurut Zahid, beliau juga akan memantau sendiri Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ADUN yang menang kelak.
“Saya telah melakukan tinjauan ada kawasan yang agak mudah kita kuasai atau kuasai semula ada yang agak sukar tapi saya amat yakin dengan pemilihan calon-calon itu telah melalui proses penapisan yang cukup teliti, mereka mempunyai potensi yang sangat besar dan kobolehmenangan itu tinggi.
“Kita minta mereka istiqamah dan mnyantuni bukan sahaja pengundi parti UMNO tapi juga keseluruhannya.
“Saya rasa ini kita boleh lakukan dengan baki empat hari,” ujarnya.







