Malaysia hanya perantara, bukan penentu isu Thailand–Kemboja – PM Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak pernah mencampuri urusan dalaman Thailand berhubung pertikaian sempadannya dengan Kemboja, sebaliknya hanya bertindak sebagai perantara bagi membantu kedua-dua negara mencapai penyelesaian damai.

Beliau menyifatkan dakwaan segelintir pihak di Bangkok sebagai tidak berasas dan berpunca daripada salah faham terhadap pendirian Malaysia dalam menangani isu berkenaan.

“Biar saya jelaskan. Pertama, sebagai negara jiran, sudah tentu kita prihatin (mengenai pertikaian itu), tetapi kita tidak terbabit. Kita hanya memudah cara untuk membantu mereka mencapai penyelesaian. Kita tidak memberikan sebarang cadangan khusus mengenai bagaimana mereka perlu menyelesaikan isu terbabit.

“Kita hanya mempertemukan ketua angkatan tentera mereka. Saya juga menghubungi kedua-dua perdana menteri mereka dan meminta mereka berbincang. Sudah tentu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump juga berbincang dengan mereka dan saya berhubung dengan kedua-dua pihak berkenaan kerana Malaysia dianggap sebagai rakan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 semalam.

Beliau turut menegaskan tidak wajar ada pihak di Thailand menuduh Malaysia atau dirinya mencampuri urusan negara itu.

“Saya tidak tahu mengenai politik dalaman atau politik tempatan di sana sehingga boleh dikatakan kita campur tangan. Rakan-rakan kita di Thailand tidak harus salah faham, kepentingan kita hanyalah membantu mereka mencapai keamanan,” katanya.

Menurut beliau, pendirian Malaysia dalam isu pertikaian sempadan Thailand–Kemboja turut mendapat sokongan semua pemimpin ASEAN.

Menjawab pertanyaan sama ada isu berkenaan akan dibangkitkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, Anwar berkata, beliau akan mendengar sekiranya perkara itu disentuh oleh rakan sejawatnya. Malaysia, jelasnya, kekal komited membantu kedua-dua negara jiran itu mencapai perdamaian.

Beliau turut menyifatkan kritikan dari Thailand sebagai perkara biasa dalam sistem demokrasi negara tersebut.

“Saya tidak fikir kita harus terganggu daripada tugas utama kita untuk membantu mereka mencapai keamanan hanya kerana beberapa kenyataan oleh segelintir pihak yang kecil, kecewa dan terdesak,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan sekumpulan individu berhimpun di hadapan Kedutaan Malaysia di Jalan Sathon, Bangkok sambil membawa bendera Thailand dan kain rentang.

Kumpulan itu menuduh Anwar, selaku Pengerusi ASEAN, campur tangan dalam usaha Thailand mempertahankan kedaulatannya.

Mereka turut mendesak Anwar menghentikan tekanan supaya Thailand berunding dengan Kemboja mengenai kawasan sempadan yang dipertikaikan, selain menuduh beliau melakukan ‘campur tangan politik’ serta mendakwa Malaysia dan AS cuba mempengaruhi keputusan Thailand secara tidak wajar.

Related Posts

Isu Proklamasi Negeri Sembilan, Ahmad Zahid jumpa Ismail Lasim

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ada keperluan pinda perlembagaan jamin 30 peratus Wanita UMNO jadi calon pilihan raya 

KUALA LUMPUR – Wakil Wanita UMNO mencadangkan pindaan perlembagaan parti bagi menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN). Ketua Wanita…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Selepas PRU16, UMNO tidak perlu lagi terikat dengan mana-mana parti politik

Selepas PRU16, UMNO tidak perlu lagi terikat dengan mana-mana parti politik

Wanita UMNO perlu bantu raih semula kepercayaan rakyat – Noraini

Wanita UMNO perlu bantu raih semula kepercayaan rakyat – Noraini

Isu Proklamasi Negeri Sembilan, Ahmad Zahid jumpa Ismail Lasim

Isu Proklamasi Negeri Sembilan, Ahmad Zahid jumpa Ismail Lasim

Identiti UMNO kekal, hak semua kaum tetap dijaga – Noraini

Identiti UMNO kekal, hak semua kaum tetap dijaga – Noraini

Ada keperluan pinda perlembagaan jamin 30 peratus Wanita UMNO jadi calon pilihan raya 

Ada keperluan pinda perlembagaan jamin 30 peratus Wanita UMNO jadi calon pilihan raya 

Mandat bukan sekadar jawatan, Pemuda perlu buktikan khidmat – Syed Hussien

Mandat bukan sekadar jawatan, Pemuda perlu buktikan khidmat –  Syed Hussien