
MALAYSIA menegaskan peranannya hanyalah sebagai fasilitator yang diminta membantu Thailand dan Kemboja, susulan dakwaan tidak berasas yang menuduh negara ini campur tangan dalam pertikaian sempadan antara kedua-dua negara berkenaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tuduhan itu tersasar sama sekali dan tidak menggambarkan kedudukan sebenar Malaysia dalam proses berkenaan.
Tuduhan bahawa Malaysia mencampuri urusan Thailand berkaitan pertikaian sempadan dengan Kemboja disifatkan jauh tersasar, kata beliau.
Malaysia, katanya, tidak pernah menjadi mediator, sebaliknya hanya menjalankan peranan yang diminta kedua-dua negara.
“Seorang fasilitator berperanan sebagai orang tengah bagi pihak-pihak yang berkonflik dan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
“Kedua-dua pihak meminta Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber untuk komuniti India, di ibu negara, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, peranan Malaysia itu telah dimaklumkan kepada Kabinet sejak awal, sekali gus menafikan dakwaan bahawa Kuala Lumpur campur tangan dalam hal ehwal mana-mana negara, termasuk negara jiran.
“Tuduhan sedemikian tidak wajar dan tidak betul. Kumpulan dari Thailand yang membuat dakwaan itu tidak mewakili kerajaan Thailand. Sama ada mereka mempunyai motif atau agenda tersendiri, itu urusan mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa segala syarat dan keputusan telah ditentukan oleh Kemboja dan Thailand sendiri sebelum gencatan senjata ditandatangani di Kuala Lumpur, serta semasa pemeteraian perjanjian damai yang disaksikan Amerika Syarikat.
“Malaysia tidak campur tangan dalam mana-mana perjanjian ini,” katanya sambil menegaskan pendirian Malaysia yang berkecuali.
“Kita tidak memihak mana-mana kuasa geopolitik, sama ada China atau Amerika Syarikat. Kita mengekalkan hubungan dan perdagangan dengan kedua-duanya dan kita tidak berada di bawah pengaruh mana-mana kuasa terbabit.
“Berdasarkan prinsip ini, Malaysia berkecuali dan diminta untuk membantu oleh kedua-dua negara berkenaan (Thailand dan Kemboja),” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menolak dakwaan sesetengah pihak di Thailand yang menuduh beliau campur tangan dalam urusan negara itu berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Menegaskan bahawa tuduhan tersebut langsung tidak berasas, beliau meminta pihak yang mengecamnya agar memahami terlebih dahulu peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan pertikaian dua negara jiran itu sebelum membuat kenyataan tanpa usul periksa.








