
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan bahawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.62 Silam, Abd Halim Sidek Gulam Hassan, kekal bertanding walaupun beliau mengumumkan penarikan diri.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tindakan itu tidak boleh diterima kerana dibuat selepas tempoh yang dibenarkan pada hari penamaan calon.
“Menurut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, tiada calon boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan,” katanya menerusi kenyataan media di sini pada Selasa.
Beliau berkata, berdasarkan peruntukan tersebut, nama calon berkenaan akan terus kekal dalam kertas undi bagi Bahagian PRN N.62 Silam.
Terdahulu, calon PH DUN Silam itu pada Isnin mengumumkan penarikannya daripada bertanding pada PRN17 Sabah.
Dalam kenyataan rasminya, beliau menyatakan keputusan itu dibuat atas pertimbangan mendalam serta perbincangan bersama kepimpinan tertinggi PH, sambil menegaskan bahawa ia adalah keputusan peribadi tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.





