PORT DICKSON – Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai calon Menteri Besar mempamerkan ketandusan idea Barisan Nasional dalam memikat pengundi sehingga terdesak menunggang sentimen kebencian.
Penganalisis sosiopolitik dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, tindakan itu mencerminkan BN cuba mempengaruhi pengundi melalui kebimbangan dan persepsi, bukannya melalui keyakinan terhadap kemampuan serta rekod pentadbiran.
Menurut beliau, sebagai pemimpin tertinggi parti Melayu, setiap kenyataan yang menyentuh soal institusi dan undang-undang wajar dibuat dengan cermat agar tidak mengelirukan rakyat, semata-mata untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap Pakatan Harapan (PH).
“Pada pandangan saya, kenyataan itu berpotensi menimbulkan kekeliruan dj kalangan rakyat kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan syarat-syarat tertentu bagi pelantikan Menteri Besar.
“Oleh itu, mengaitkan Anthony Loke sebagai bakal Menteri Besar tanpa menjelaskan konteks perundangan boleh membentuk persepsi yang tidak tepat terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun dan kerajaan negeri.
“Parti politik yang yakin dengan kekuatan sendiri tidak perlu bergantung kepada naratif yang boleh mengelirukan. Sebaliknya, mereka perlu tampil dengan tawaran dasar yang jelas serta hujah yang berasaskan fakta,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan, apabila seorang tokoh politik mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan peruntukan undang-undang negeri, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa kerangka perlembagaan negeri tidak diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, menghormati undang-undang bukan sekadar tanggungjawab kerajaan negeri, tetapi juga semua pemimpin politik yang berperanan membentuk kefahaman rakyat terhadap sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan.

“Dalam kempen pilihan raya, setiap kenyataan menyentuh Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab serta berfakta. Perbezaan pandangan politik perkara biasa, namun naratif mengelirukan rakyat mengenai kedudukan undang-undang negeri tidak membantu meningkatkan kualiti wacana demokrasi.
“Justeru, adalah lebih baik semua pihak berpolitik berdasarkan rekod pentadbiran, dasar dan prestasi, bukannya membina persepsi melalui tafsiran yang boleh menimbulkan salah faham terhadap institusi serta kerangka perundangan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin memaklumkan, rakyat hari ini semakin matang dan mampu menilai sama ada sesuatu kenyataan itu benar-benar membawa kepentingan awam atau sekadar strategi untuk membentuk persepsi politik.
Beliau tidak menafikan setiap parti ketika pilihan raya sememangnya mempunyai strategi untuk menarik sokongan pengundi, namun, apabila sesuatu naratif dibina melalui persepsi yang tidak selari dengan kerangka undang-undang atau fakta sebenar.
“Tindakan sedemikian boleh menimbulkan persoalan sama ada strategi tersebut lebih berasaskan usaha meyakinkan rakyat atau sekadar mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengundi.
“Jika benar isu seperti ini diketengahkan tanpa mengambil kira peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, ia boleh dilihat sebagai pendekatan politik yang cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar rakyat.
“Sepatutnya persaingan politik tertumpu kepada persoalan yang lebih penting seperti prestasi kerajaan negeri, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu Asyraf Wajdi mempersoalkan siapakah yang akan dilantik sebagai calon menteri besar daripada PH sekiranya Aminuddin tewas dalam pilihan raya negeri kali ini.
Beliau kemudian membangkitkan persoalan sama ada rakyat Negeri Sembilan mahu Anthony Loke menjadi Menteri Besar.





