
KUALA PILAH – Kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang membangkitkan soal asal-usul kaum di Malaysia membuktikan keperluan negara mengamalkan budaya politik matang, berilmu dan beradab, kata Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Sany Hamzan.
Beliau berkata, selepas lebih 70 tahun merdeka, politik negara sepatutnya bergerak ke arah lebih matang, sejahtera dan berteraskan nilai, bukannya terus memainkan sentimen perkauman, fitnah dan politik sempit.
“Sepatutnya kita mengamalkan budaya politik matang, sejahtera, yang ada ilmu, yang ada adab dan yang ada akhlak.
“Biarlah politik kita ini betul. Kita bertanding dalam pilihan raya memang kita hendak menang, tetapi politik yang macam mana yang kita hendak bawa dalam negara ini dan kita utuskan kepada generasi baharu,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini pada Ahad.
Sany berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sanusi pada ceramah perdana Barisan Nasional (BN)-PN di Jempol, baru-baru ini, yang antara lain menyebut bahawa orang Cina mempunyai China, orang India mempunyai India, manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
Sanusi turut membangkitkan kebimbangan mengenai kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu yang didakwa semakin terhakis.
Mengulas perkara itu, Sany berkata, asal-usul nenek moyang tidak seharusnya dijadikan asas untuk mempersoalkan kedudukan rakyat Malaysia hari ini.
Katanya, generasi hari ini sudah menjadikan Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka tanpa mengira latar belakang keturunan.
“Dulu mungkin datuk nenek moyang kita ada yang berasal dari Sumatera, Tanah Jawa, Thailand, India atau China. Tetapi itu datuk nenek moyang kita.
“Generasi terkemudian ini, Malaysia adalah tanah tumpah darah mereka. Mereka dilahirkan di sini, dibesarkan di sini, menimba pendidikan di sini, bekerja dan mencari makan di sini.
“Suatu hari nanti mereka juga akan mati di atas muka bumi Malaysia yang kita cintai ini,” katanya.
Sehubungan itu, Sany berkata, politik berasaskan sentimen perkauman, fitnah dan adu domba perlu dihentikan kerana tidak membawa negara ke arah kemajuan.
“Cukuplah kita main sentimen perkauman, sentimen fitnah dan politik sempit. Sepatutnya kita membincangkan soal bagaimana hendak membangun dan memajukan negara ini.
“Fakta lawan dengan fakta, idea lawan dengan idea, wawasan lawan dengan wawasan. Maksudnya biarlah kita berpolitik ini ada ilmu, ada nilai dan ada politik nilai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sany turut mengalu-alukan kehadiran Sanusi dan PN untuk berkempen di Negeri Sembilan.
Katanya, PH tidak perlu menghalang mana-mana pemimpin pembangkang daripada hadir berceramah kerana rakyat berhak menilai sendiri hujah dan pendekatan politik yang dibawa.
Sany berkata, pilihan raya bukan sekadar medan untuk menentukan pihak yang menang atau kalah, sebaliknya ruang untuk parti politik menunjukkan bentuk politik yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, politik yang dibawa perlu mempunyai nilai kasih sayang terhadap negara serta mengutamakan usaha membangunkan dan memajukan Malaysia.






