
KOTA KINABALU – Perhimpunan kira-kira 1,000 pekerja gig dan anak muda di Tanjung Aru membuka ruang kepada Kerajaan Persekutuan memahami lebih dekat realiti kehidupan golongan itu, susulan sesi libat urus bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Steven yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP dan Pengerusi DAP Pulau Pinang hadir bersama calon PH DUN Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin dalam program ringkas yang berlangsung di sini pada Isnin.
“Sabah sahaja mempunyai sekitar 100,000 pekerja gig, satu kelompok besar yang sebelum ini beroperasi tanpa perlindungan mencukupi.
“Undang-undang ini sangat penting bagi memastikan mereka tidak terus dibiarkan tanpa jaminan asas sebagai pekerja,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Menurutnya, undang-undang baharu yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini bakal mengubah landskap pekerjaan gig di Malaysia dengan memberikan pengiktirafan perundangan yang lebih jelas kepada golongan itu.
Beliau berkata, melalui pengiktirafan tersebut, pekerja gig akan mendapat perlindungan asas secara automatik merangkumi keselamatan sosial, standard pekerjaan yang munasabah dan saluran aduan yang lebih tersusun.
Steven turut menghargai usaha Chan yang selama ini membawa suara pekerja gig Sabah ke peringkat nasional, termasuk isu perlindungan sosial dan ketidakpastian pendapatan.
Dalam sesi itu, para pekerja gig yang hadir menyatakan rasa lega dan gembira berikutan wujudnya kerangka undang-undang baharu yang lebih memahami cabaran mereka, selain mengiktiraf sumbangan signifikan golongan itu kepada ekonomi.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI percaya setiap pekerja berhak kepada perlindungan sewajarnya dan pelaksanaan undang-undang baharu ini menuntut kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Kehadiran pemimpin seperti Chan mengukuhkan hubungan ini dan memastikan dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.






