Kerajaan perangi kartel dan penyeludupan demi selamatkan negara – PMX

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa komitmen Kerajaan MADANI memerangi kartel dan kegiatan penyeludupan secara menyeluruh merupakan langkah luar biasa yang perlu diambil demi menyelamatkan bangsa serta kedaulatan negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, isu kartel dan penyeludupan bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak puluhan tahun, namun tidak dibendung akibat ketiadaan keberanian serta tekad politik yang kukuh.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesungguhan mereka mendukung usaha kerajaan itu.

“(Tekad ini memberikan) risiko besar kepada SPRM, LHDN dan PDRM. Semua risiko besar kerana mereka (kartel) sudah begitu kuat, tetapi kita sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.

“Langkah kita ambil itu langkah luar biasa… bayangkan berpuluh-puluh tahun terbiar dan puluhan bilion ringgit hilang… ukurannya (tekad ini) ialah usaha untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Anwar turut menyelar tindakan segelintir individu yang berdiam diri terhadap kejayaan agensi penguat kuasa menumpaskan kartel dan penyeludupan di negara ini.

“Kalau dengar perbicaraan (perbahasan) di Parlimen tidak ada yang bersuara… boleh kata beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan (menyokong usaha banteras kartel), tetapi sebelah sana (pembangkang) langsung tiada.

“Saya berterima kasih kepada SPRM dan polis yang menjalankan tugas selamatkan negara kita. Penyeludupan saya (pernah) sebut di Parlimen, (antaranya) kontena keluar masuk di pelabuhan puluhan tahun dengan seludup barang masuk dan barang keluar,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel, susulan kejayaan tindakan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Perdana Menteri menggesa pelajar di Fakulti Pengajian Islam agar memanfaatkan kemajuan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan syiar Islam dan memperluas pengaruh ilmu.

“Sebaiknya mereka (pelajar) harus ada juga satu bidang khusus, (sekarang) kita ada pelbagai disiplin termasuk soal teknologi komputer AI,” katanya.

Konvensyen Pengajian Islam IPT Antarabangsa 2025 merupakan perhimpunan ilmuwan dan pemimpin akademik negara bagi menzahirkan keutuhan ilmu, hikmah serta perpaduan dalam memperkasakan pengajian Islam di Malaysia.

Related Posts

MyGOV Malaysia: Pusat rujukan sehenti perkhidmatan kerajaan digital
  • SitiSiti
  • October 7, 2026

KERAJAAN Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam agenda transformasi digital dengan memperkenalkan MyGOV Malaysia, sebuah aplikasi mudah alih bersepadu yang berfungsi sebagai pusat rujukan sehenti (one-stop center). Aplikasi ini dibangunkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani: Dari janji enam bulan ke siasatan RM40 juta

KELMARIN, rakyat Kedah khususnya peminat sukan permotoran dikejutkan dengan berita seorang pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pecah amanah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan dengan projek Litar Lumba…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Imej negatif Ahmad Zahid buka kelompangan UMNO tumbang pilihan raya

Imej negatif Ahmad Zahid buka kelompangan UMNO tumbang pilihan raya

Ruang bandar sedia ada mampu hidupkan komuniti – Adam Yii

Ruang bandar sedia ada mampu hidupkan komuniti – Adam Yii

MyGOV Malaysia: Pusat rujukan sehenti perkhidmatan kerajaan digital

  • By Siti
  • October 7, 2026
MyGOV Malaysia: Pusat rujukan sehenti perkhidmatan kerajaan digital

Pelaburan hingga RM5 bilion untuk ambil alih kilang CJ Bio

Pelaburan hingga RM5 bilion untuk ambil alih kilang CJ Bio

Penyelidikan perlu beri impak kepada pembangunan Sabah – Hajiji

Penyelidikan perlu beri impak kepada pembangunan Sabah – Hajiji

Rapatkan jurang peluang belia Sabah menerusi Belanjawan 2027

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
Rapatkan jurang peluang belia Sabah menerusi Belanjawan 2027