
KUCHING – Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menandatangani tiga perjanjian strategik bersama syarikat tenaga antarabangsa bagi memperkukuh usaha penerokaan minyak dan gas serta mempercepat pelaksanaan projek penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, yang menyifatkan ia sebagai satu lagi detik penting dalam usaha memperkukuh masa depan tenaga Sarawak.
“Melalui kerjasama ini, kita bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik dengan rakan global, tetapi juga membuka peluang baharu dalam penerokaan dan pembangunan tenaga rendah karbon. Bersama-sama, kita membentuk ekosistem tenaga yang boleh dipercayai, saksama dan inklusif demi kemakmuran jangka panjang Sarawak,” katanya.
Tiga perjanjian strategik itu merangkumi kerjasama penting bagi memperkukuh sektor tenaga Sarawak.
Pertama, PETROS dan Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) menandatangani Perjanjian Kajian Bersama (JSA) bagi meneroka potensi minyak dan gas darat di Mukah-Balingian, sekali gus memperkasa pembangunan sumber tenaga secara bertanggungjawab dan melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.
Selain itu, melalui Kajian Bukti Konsep (Proof-of-Concept Study) bersama SC Tubular Solutions Malaysia (SCTSM) dan Superconducting Sensor Technology Corporation (SUSTEC), PETROS akan menggunakan teknologi SQUID-TEM di Adong Kechil West, Miri merupakan pelaksanaan pertama di Sarawak bagi meningkatkan ketepatan dan kecekapan penerokaan sumber tenaga.

Sementara itu, Perjanjian Kajian Penyimpanan (SSA) dengan Woodside Energy akan menilai potensi penyimpanan karbon di Central Luconia, luar pesisir Sarawak, di bawah Sarawak Bid Round 2024, bagi menyokong aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab serantau teknologi CCUS dan peneraju tenaga rendah karbon di rantau ini.
Perjanjian dengan JOGMEC, SUSTEC dan SCTSM ditandatangani oleh Naib Presiden PETROS bagi Subsurface dan Pembangunan, Jeremy Wong, manakala bagi perjanjian dengan Woodside, PETROS diwakili oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, Datuk Abang Arabi Abang Narudin.

Melalui tiga kerjasama strategik ini, PETROS yakin Sarawak akan terus muncul sebagai peneraju tenaga serantau yang berinovatif dan mampan, sekali gus membuka peluang baharu kepada rakyat dan perniagaan tempatan dalam industri tenaga masa depan.






