40 peratus hasil Sabah: Rundingan berterusan, bukan pertikaian – Anwar

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukanlah medan pertikaian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya sedang ditangani melalui rundingan berterusan secara harmoni di bawah semangat Malaysia MADANI.

Berucap pada Program Rancakkan MADANI Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad, Anwar menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan jauh lebih besar berbanding hasil yang diterima daripada negeri itu, sebagai bukti kesungguhan membantu rakyat Sabah.

“Kita ambil hasil RM10 bilion, kita bagi balik RM17 bilion. Sebab kita pakat di antara Persekutuan dan negeri, gunakan hasil kita membangunkan semua negara di Malaysia ini dan kebetulan Sabah sedikit ketinggalan, kita bantu lebih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tanggungjawab kerajaan bukan untuk memihak kepada mana-mana negeri tertentu, tetapi memastikan keseimbangan pembangunan di seluruh negara.

“Saya anak Pulau Pinang, kalau ikut sentimen, saya nak bagi Pulau Pinang semua. Tapi tidak, saya Perdana Menteri Malaysia.

“Yang miskin ramai di Sabah, jalan lubang di Sabah, sekolah daif di Sabah. Bantu mereka,” katanya.

Oleh itu, Anwar turut menegaskan bahawa rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjalan secara aktif dan membuahkan hasil yang nyata.

“Saya lantik Timbalan Perdana Menteri 2, Datuk Seri Fadillah untuk pengerusikan technical committee. Tanya SUK, ada mesyuarat, bincang. Ini setuju, jalan.

“Ini belum setuju, nanti, kita runding lagi. Itu cara kita dalam kerjasama kita, bukan untuk berperang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil daripada rundingan itu, Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak beberapa kali ganda berbanding dahulu.

“Dulu berapa? Ada RM16 juta atau RM26 juta, bertahun-tahun.

“Kemudian, Kerajaan dahulu minta RM56 juta. Saya kata tidak boleh, biar kita runding.

“Jadi kita runding Sabah dan Sarawak. Bila kita runding, saya naikkan dari cadangan RM56 juta jadi RM300 juta ke Sabah, RM300 juta ke Sarawak.

“Baik. Belum cukup. Runding lagi.

“Tahun ini dalam Belanjawan, saya sebut interim. Sementara kita nak muktamadkan, kita bincang bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita luluskan RM600 juta untuk Sabah, RM600 juta untuk Sarawak.

“Itu pun saya sebut interim, sementara rundingan diadakan,” jelas beliau.

Tambah Anwar, kerajaan tidak pernah menolak hak Sabah, tetapi pendekatan realistik perlu diambil bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan semasa negara.

“Cukup? Belum cukup. Memang Kerajaan Sabah dan Sarawak kata, belum. Ini hanya persetujuan sementara.

“Runding tidak? Ada runding. Setuju sementara? Setuju sementara. Sabah, Sarawak setuju sementara. Persekutuan pun setuju sementara. Kita runding.

“Kerana kita tengok juga kedudukan kewangan. Saya boleh janji bagi RM2 bilion. Duit dari mana?

“Hutang dulu. Boleh? Tidak boleh. Jadi, ini faktanya,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar rakyat Sabah memahami bahawa segala keputusan dibuat berasaskan prinsip keadilan dan perpaduan nasional.

“Saya harap anak-anak faham. Yang penting ini apa dia? Sekolah kita, klinik kita, jalan kita, ini yang penting.

“Jangan bagi rakyat marah, marah, marah.

“Kemudian bila kamu perintah, kamu yang kaya, rakyat kekal miskin. Jangan begitu. Negara ini bukan miskin. Sabah pun bukan miskin,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah tidak ada tandingannya.

“Belum pernah, saya tak kata dulu kerajaan-kerajaan negeri dulu atau Persekutuan tak buat apa-apa, mereka buat. Tetapi tak ada tolok bandingnya dari segi komitmen Kerajaan Persekutuan sekarang, hari ini membantu rakyat Sabah,” ujar beliau.

Related Posts

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

PUTRAJAYA – Tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang dan setiap yang disabitkan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR – Harga arang batu yang melonjak kepada AS$148 satu tan pada 10 September meningkatkan tekanan terhadap kos penjanaan elektrik negara, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

  • By Fatin
  • September 18, 2026
Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

  • By Fandi
  • September 18, 2026
Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah