REMBATAN voli deras Amad Diallo membantu Manchester United balik dengan satu mata berharga selepas seri 2-2 menentang Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris, lewat malam tadi.
United yang sedang mempamer kebangkitan di bawah kendalian Ruben Amorim tampak berada di landasan tepat untuk meraih kemenangan liga keempat berturut-turut apabila pemain tengah berpengalaman, Casemiro menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-34.
Namun, segalanya berubah pada awal babak kedua apabila benteng pertahanan United rapuh dan Forest menjaringkan dua gol dalam tempoh kurang dua minit menerusi Morgan Gibbs-White dan Nicolo Savona untuk mendahului 2-1.
Pasukan pelawat kembali memperkemaskan permainan dan menggandakan usaha memburu gol penyamaan, namun terus buntu sehingga Diallo melepaskan rembatan voli deras dari luar kotak penalti pada minit ke-81 untuk menjadikan kedudukan 2-2.
Diallo hampir muncul wira Red Devils pada masa kecederaan, tetapi percubaannya sekadar sipi, sekali gus menyaksikan United terlepas peluang melonjak ke tangga kedua liga.









