
BEAUFORT – Sabah terus menjadi tumpuan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan mampan Kerajaan Persekutuan apabila dua program utama berkaitan agrikomoditi dan alam sekitar berlangsung serentak di negeri pada minggu ini.
Program berkenaan ialah Jelajah Agrikomoditi MADANI @ Sabah anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Beaufort serta Karnival Alam Kita (KAK) Peringkat Negeri Sabah di Kimanis yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, Sabah bukan sahaja penyumbang utama kepada sektor agrikomoditi negara tetapi juga antara negeri yang paling kaya dengan biodiversiti semula jadi menjadikan usaha memperkasa komuniti luar bandar serta memelihara alam sekitar sebagai keutamaan nasional.
Jelasnya, penganjuran kedua-dua acara itu memperlihatkan kesinambungan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor agrikomoditi sambil mempertingkat kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
“Sabah adalah nadi penting kepada industri agro komoditi negara bukan sahaja sebagai pengeluar utama, tetapi juga peneraju dalam amalan lestari.
“Dalam masa yang sama, kita mahu setiap rakyat Sabah menjadi sebahagian daripada gerakan menjaga bumi melalui tindakan kecil yang membawa impak besar,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Beliau berkata, Sabah kini mempunyai 199,000 hektar kawasan tanaman sawit yang diusahakan oleh lebih 31,000 pekebun kecil berdaftar, manakala di daerah Beaufort sahaja terdapat 4,600 hektar kawasan sawit melibatkan 1,500 pekebun kecil.
Dalam Program Jelajah Agrikomoditi MADANI @ Sabah, beliau turut menyerahkan skim bantuan kepada lima penerima terpilih sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap kebajikan dan daya tahan pekebun kecil sawit.
“Kita mahu memastikan setiap pekebun kecil di Sabah mendapat peluang untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan melalui skim bantuan, latihan teknikal dan pensijilan lestari.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” ujarnya.
Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti bengkel, seminar, gotong-royong komuniti dan program pendidikan alam sekitar bagi memupuk semangat cintakan alam dalam kalangan rakyat.
Foong Hin berkata, kerajaan sedang meneliti pelbagai inisiatif termasuk penggubalan dasar baharu dan sesi libat urus bersama pakar bagi memperkukuh tadbir urus kelestarian serta pemuliharaan biodiversiti negara.




