
KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak ke-22 hari ini memberitahu mahkamah bahawa pada subuh 16 Julai lepas dia ada ternampak seseorang seolah berkurung di dalam tandas.
Menurut peguam ibu Zara, saksi berkata, pada lebih kurang pukul 2.35 pagi (16 Julai 2025) saksi bangun awal untuk mandi di tandas aras tiga asrama tersebut.
“Saksi menolak pintu tandas nombor satu yang tertutup, namun pintu tersebut ditolak semula dari dalam.
“Saksi berkata dia merasakan ada seseorang yang sedang duduk menyandar di pintu bilik tandas.
“Ia seolah seperti seorang yang sedang mengurung diri dalam bilik tandas nombor satu,” kata Rizwandean M Borhan dalam sidang media selepas prosiding inkues kematian Zara Qairina di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Isnin.
Jelasnya, saksi perasan ada orang di dalam tandas nombor satu memakai baju sukan rumah ‘Hanafi’ berwarna sama dengan rumah sukannya, tetapi saksi tidak nampak wajah orang tersebut.
Katanya, saksi tidak tahu sama ada orang itu adalah Zara dan dia masuk ke tandas yang lain untuk mandi.
“Semasa mandi, saksi ada terdengar bunyi pintu tandas nombor satu itu dibuka seperti seseorang keluar.
“Setelah selesai mandi, saksi mendapati pintu tandas itu terbuka dan kosong.
“Ketika berjalan pulang ke bilik, saksi hanya terdengar bunyi tapak kaki di tangga berhampiran tandas namun tidak nampak sesiapa,” jelasnya.
Katanya, saksi kemudian sambung tidur sekitar pukul 3 pagi dan tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan selepas itu.



