
PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan isu tuntutan bayaran upah jahit pakaian seragam bagi pegawai dan anggota akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis Gilberd Philip Layang berkata, pihaknya memahami keresahan warga pasukan berhubung perkara itu yang sedang tular di media sosial.
“PDRM bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi pusat berkaitan sedang berusaha bagi menyelaras peruntukan dan mempercepatkan proses bayaran.
“Kebajikan warga pasukan sentiasa menjadi keutamaan dan usaha penyelarasan giat dijalankan agar semua tuntutan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, mengikut tatacara kewangan serta perolehan yang berkuat kuasa.
“PDRM menggesa semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada proses pentadbiranyang sedang berjalan,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata, perkara itu tidak menjejaskan kesiapsiagaan serta tanggungjawab utama PDRM dalam memastikan keselamatan negara terpelihara, terutama menjelang pelaksanaan pelbagai acara bertaraf antarabangsa sepanjang tahun ini.
“PDRM kekal komited memastikan kebajikan setiap pegawai dan anggota terus dipelihara selaras dengan prinsip kesejahteraan perkhidmatan awam dan semangat MADANI,” katanya.







