
KALABAKAN – Gelombang kebangkitan semangat pengundi muda menjadi pemangkin utama kepada usaha memperkukuh pengaruh UMNO dan Barisan Nasional (BN) di parlimen ini sekali gus memastikan kerusi Dewan Undangan (DU) Tanjung Batu kekal di bawah panji BN.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, golongan muda kini semakin menunjukkan minat terhadap perubahan sehingga keinginan untuk terlibat politik.
“Apabila kita melihat anak muda ini, mereka sendiri yang menunjukkan keinginan perubahan dan mereka merasakan penglibatan mereka menggantikan peranan generasi lama untuk sama-sama mengubah nasib masyarakat di kampung mereka.
“Dan inilah menjadi kesamaan kami antara BN dengan kumpulan anak muda di kampung-kampung,” katanya kepada media selepas Program TEGAR71 di Kg Baru Pasir Putih, pada Rabu.

Tegas Samasuddin, isu insfrastruktur, peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran bakal menjadi keutamaan dan penyelesaian tuntas susulan BN mempunyai rekod cemerlang sebagai simbol kestabilan politik serta kemajuan masyarakat luar bandar.
“Rakyat sini memberi maklum balas bahawa kerajaan BN sudah memang terbukti menerusi rekod-rekod dari tahun 1994 hingga 2018 iaitu zaman era emas, rakyat di Sabah ini hidup paling makmur.
“Bermula dari 2018 hingga 2025, keadaan memang ketidak aturan dan kestabilan politik. Jadi inilah yang kita menawarkan kepada rakyat bahawa zaman sekarang bukan zaman nak uji-uji, nak try-try,” katanya.
Mengenai jentera, UMNO Bahagian Kalabakan kini giat memperkemaskan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan Sabah.
Katanya, walaupun pengumuman calon rasmi belum dibuat, jentera parti sudah lama digerakkan dan kini mencapai momentum kira-kira 60 peratus.
“Alhamdulillah, UMNO BN Kelabakan, khususnya di tiga Dewan Undangan iaitu Tanjung Batu, Kukusan dan Sebatik telah mula kerja sejak tahun lepas.
“Semakin dekat penamaan calon ini, semakin lancar program bersama rakyat yang disusun atur misalnya di Pasir Putih ini menunjukkan bahawa rakyat di sini memang rindu kepada kerajaan BN,” ujarnya.






