PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta memuji ketajaman Viktor Gyokeres selepas penyerang Sweden itu menamatkan kemarau sembilan perlawanan tanpa jaringan dengan dua gol ketika menang 4-0 ke atas Atletico Madrid, awal pagi tadi.
Gyokeres, yang dibeli dari Sporting dengan harga £64 juta (RM361 juta), menjaringkan gol ketiga dan keempat Arsenal untuk menamatkan penantian panjangnya di depan gol, sekali gus mengekalkan permulaan sempurna The Gunners dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini.
Pemain berusia 27 tahun itu tersenyum puas ketika dikeluarkan pada hujung perlawanan, sambil menerima tepukan gemuruh penyokong Arsenal di Stadium Emirates.
“Saya fikir dia memang layak diberikan penghormatan itu kerana sumbangannya kepada pasukan dalam banyak aspek, walaupun sebelum ini tidak menjaringkan gol,” kata Arteta kepada Agensi.
“Tiada keraguan mengenai nilainya kepada pasukan. Cuma kami mahu dia kekal yakin, tenang dan bermain secara bebas.
“Bila saya lihat reaksi rakan sepasukannya, mereka semua jelas gembira untuknya.”
Gol pertama Gyokeres hadir secara tidak sengaja apabila rembatan lemahnya terkena pemain pertahanan sebelum bergolek masuk ke gawang, manakala gol kedua disempurnakan hasil situasi sepakan penjuru selepas tandukan Gabriel jatuh tepat di kakinya.





