ADAKAH ini wajah sebenar pentadbiran yang kononnya mendabik dada sebagai ‘bersih dan telus di bawah kepimpinan Islam’?
Surat rasmi bertanda nama Exco Kerajaan Negeri Terengganu kini tular, memaparkan cadangan projek jalan raya bernilai jutaan ringgit namun dicadangkan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat yang dinamakan secara spesifik.
Mengapa begitu mudah nama sebuah syarikat dimasukkan terus dalam surat rasmi Kerajaan Negeri?
Apakah urus tadbir Terengganu kini telah diturunkan taraf menjadi urus niaga ‘atas meja’ siapa kenal, dia dapat?
Jika benar projek ini mendesak, bukankah masih ada prosedur kecemasan dalam tatacara kerajaan yang membolehkan tender terbuka dipercepatkan tanpa menggadai ketelusan?
Mengapa tergesa-gesa mahu melantik tanpa persaingan? Siapa di belakang syarikat SR Tech Resources yang begitu ‘bertuah’ ini?
Rakyat berhak bertanya:
Apakah ini hasil daripada slogan ‘Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera’?
Atau sebenarnya ‘Terengganu Maju, Kroni Sejahtera’?
Dan di manakah suara integriti yang selama ini gah menuduh kerajaan lain tidak telus, kononnya mengamalkan budaya rasuah?
Mengapa tiba-tiba sunyi apabila pentadbiran sendiri didedahkan dengan surat seperti ini lengkap dengan tandatangan dan kepala surat rasmi?
Lebih ironik, adakah ini jenis ‘pembangunan Islam’ yang dibanggakan pembangunan yang memberi laluan rundingan terus kepada pihak tertentu, sedangkan rakyat menunggu jalan rosak diperbaiki bertahun-tahun?
Siapakah sebenarnya yang sedang menikmati ‘berkat’ ini, rakyat di Kuala Nerus yang jalan mereka terputus akibat hakisan, atau segelintir kontraktor yang dekat dengan kuasa?
Jika benar pentadbiran negeri ini suci dari amalan pilih kasih, maka:
Tunjukkan minit mesyuarat kelulusan, tunjukkan nilai projek, tunjukkan sebab hanya satu syarikat yang ‘layak’ dipilih.
Kerana selama ini, rakyat Terengganu sudah muak dengan slogan; yang mereka mahu ialah amanah, bukan alasan.








