
SANDAKAN – Ketua Bahagian Karamunting Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk George Hiew Vun Zin menekankan bahawa kebersihan kawasan awam adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengelakkan Pasar Bandar Ramai-Ramai dilabel sebagai ‘pasar kotor’.
Beliau berkata demikian selepas pasukan khidmat Karamunting, Task Force Team Karamunting turun padang melaksanakan kerja-kerja pembersihan di parit utama pasar berkenaan yang tersumbat akibat pembuangan sampah dan sisa minyak secara sembarangan.
“Pasukan kami sudah beberapa kali turun membersihkan parit di kawasan ini.
“Namun masalah ini sering berulang kerana masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam longkang.
“Saya harap penjaja dan pengunjung pasar lebih peka terhadap kebersihan persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut George, kawasan pasar merupakan nadi ekonomi kepada ramai penjaja tempatan dan perlu dijaga agar terus menjadi lokasi tumpuan masyarakat untuk mendapatkan barangan harian dalam keadaan bersih serta selesa.
“Pasar ini mencerminkan imej komuniti kita. Kalau kita mahu orang luar datang membeli dan menyokong perniagaan tempatan, kita perlu pastikan kebersihan terpelihara.
“Ini bukan tanggungjawab satu pihak, tetapi usaha bersama,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjaja yang memberi kerjasama dalam aktiviti pembersihan tersebut serta membantu melaporkan keadaan parit tersumbat lebih awal bagi membolehkan tindakan segera diambil.
George berkata, pasukan beliau akan meneruskan pemantauan dan kerja-kerja pembersihan dari semasa ke semasa di kawasan tumpuan awam lain seperti pasar, taman dan kawasan perumahan bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, selamat dan kondusif untuk komuniti setempat.





