PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan RM116.8 juta bagi melaksanakan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) pada 29 November depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu termasuk pelantikan 33,002 petugas pilihan raya bagi melicinkan perjalanan PRN itu.
Katanya, seramai 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan 196 Penolong RO dilantik bagi mengendalikan proses PRN Sabah di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, SPR juga akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding, bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi untuk berkempen.
Tempoh kempen, katanya, ditetapkan selama 14 hari bermula 15 November hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025.
Sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi akan digunakan.
“Seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Dewan Undangan Sabah Ke-17, manakala sebanyak 882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi atau saluran. PRN DUN Sabah Ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat khas SPR berhubung PRN17 Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, hari ini.
Yang turut hadir ialah Setiausaha SPR, Datuk Shahril Idrus dan Pengarah SPR Sabah, Rohiman Rahia.
PRN17 Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 6 Oktober lalu.
SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran itu daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya juga pada 6 Oktober.
PRN17 Sabah menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.
Ramlan turut mengumumkan tarikh penamaan calon pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pada 29 November, manakala writ pilihan raya dikeluarkan hari ini.






