
BELURAN – Seorang pekerja kilang minyak kelapa sawit maut selepas dipercayai tersepit dalam mesin pengisar ‘conveyor’ sawit di Kilang Minyak Kelapa Sawit Pamol, di sini, awal pagi Rabu.
Mangsa lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.20 pagi sebelum tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 98 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan di lokasi, mangsa telah dikeluarkan oleh pekerja kilang dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa dan menyerahkan kepada pihak ambulans swasta untuk dibawa ke Hospital Beluran bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.32 pagi.








