
KOTA KINABALU – Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menyatakan keinginan untuk bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Ke-17 (PRN17) Sabah yang semakin hampir tiba.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau tidak mempunyai halangan mengenai keinginan itu memandangkan kedua-duanya mereka adalah pemimpin.
“Mereka sekarang berkeinginan untuk mewakili atau bertanding atas tiket GRS itu keinginan mereka.
“Jadi saya tiada halangan kerana mereka adalah pemimpin satu Menteri dan satu Timbalan menteri,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Ditanya adakah agihan kerusi antara GRS dan PH sudah dimuktamadkan, beliau berkata, pihaknya telahpun membuat perbincangan dengan Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR Pusat, Datuk Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.
“Saya ingat kita dapat muktamadkanlah agihan kerusi di antara GRS dan PH,” ujarnya.
Mengulas dakwaan bahawa lebih 20 kerusi diminta oleh salah satu gabungan, Hajiji menjelaskan bahawa perkara tersebut adalah perkara biasa dalam mana-mana rundingan politik.
“Memanglah, gabungan itu mana-manapun dia mahu pergi yang banyak tapi kita mesti praktikal mana-mana kawasan yang ada peluang tinggi kita untuk menang itulah kita minta supaya peluang kita untuk menang pilihan raya itu tinggi,” jelasnya.







