Inkues: Saksi kanak-kanak ke-10 sahkan perjumpaan dengan ‘Circle 19’ pada malam kejadian

KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pada Khamis mendengar keterangan saksi kanak-kanak ke-10 yang mengesahkan wujud perjumpaan dengan arwah melibatkan kumpulan pelajar ‘Circle 19’ pada malam 15 Julai lalu.

Menurut peguam yang mewakili ibu Zara, Shahlan Jufri, saksi memberitahu kumpulan ‘Circle 19’ terdiri daripada 19 pelajar perempuan rapat dari kelas sama tetapi tinggal di blok asrama berasingan.

Saksi berkata pada malam kejadian sekitar pukul 9 malam, rakan sebiliknya memaklumkan dompet berisi wang dan kad pengenalan hilang serta menuduh Zara sebagai suspek.

“Saksi berkata dia meminta seorang pelajar lain memanggil Zara ke biliknya bersama rakan-rakan lain.

“Perjumpaan pertama terdiri daripada saksi dan rakan-rakannya. Pada masa itu, saksi menyoal Zara dengan beberapa pertanyaan seperti, ‘Kau tau kah dompet IC pelajar ini hilang?’ dan ‘Kau ada curi kah barang pelajar ini?’

“Saksi berkata Zara menjawab, ‘Tiada, saya tidak ambil’,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Koroner di sini.

Menurut Shahlan, saksi juga memaklumkan Zara bersumpah “Wallahi” menafikan tuduhan tersebut, sebelum seorang pelajar lain masuk dan bertanya beberapa soalan lalu kembali bersama dua lagi rakan.

Selepas itu, Zara terus disoal mengenai isu kehilangan barang, namun tetap menafikan.

“Saksi berkata, ‘kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah juga,’ tetapi Zara tidak mengaku.

“Selepas itu, saksi tidak lagi mencampuri urusan pelajar lain dengan Zara, dan dia tidak tahu jika ada sesiapa cuba menghentikan pertanyaan.

“Saksi hanya mendengar ada yang menyebut perkataan ‘Bodoh’ tetapi tidak pasti siapa yang mengatakannya,” jelas Shahlan.

Saksi juga tidak pasti berapa lama perjumpaan tersebut berlangsung. Sebelum meninggalkan bilik, dia berkata tidak melihat reaksi emosi luar biasa daripada Zara.

Pada malam itu, saksi keluar sekitar pukul 10 malam untuk tidur di bilik dorm lain bersama rakan-rakan. Dia turut menegaskan aktiviti itu bukan kesalahan selagi dimaklumkan kepada ketua dorm.

“Dia berkata tidak keluar antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi, sebelum dikejutkan oleh kawannya yang memaklumkan Zara terbaring di bawah. Dia terkejut melihat keadaan Zara dari aras tangga tingkat tiga,” kata peguam.

Tambahnya lagi, saksi juga merupakan ahli ‘Circle 19’ tetapi tidak pasti sama ada kumpulan itu menasihati pelajar lain dalam isu disiplin atau kehilangan barang, serta sama ada warden atau guru mengetahui kewujudannya.

“Sehubungan dengan itu, saksi menyatakan perjumpaan malam itu bukan Mesyuarat Asrama (MA) atau Mesyuarat Bilik (MB).

“Saksi menambah, semasa dia menjadi pelajar junior, biasanya pelajar senior yang akan menegur jika berlaku pelanggaran peraturan asrama, dan teguran itu bersifat tegas,” kata Shahlan.

Menurutnya, saksi juga memaklumkan ketua dorm dan penolong ketua dorm sepatutnya mengetahui warden bertugas kerana terdapat surat makluman ditampal di aras bawah blok.

“Saksi berkata dia tidak pasti sama ada pernah melihat pelajar junior lain dipanggil ke dorm lain untuk disoal mengenai kehilangan barang, dan tidak tahu sama ada warden akan menegur pelajar senior jika mereka menyoal junior,” ujar Shahlan.

Related Posts

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

KOTA KINABALU – Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan Sabah terus mendapat penghargaan apabila pelbagai inisiatif dan projek strategik dilaksanakan bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

PENAMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mahu dilihat sengaja melengah-lengahkan penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah. Tegasnya, Kerajaan Persekutuan memberi jaminan untuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar