
BARISAN NASIONAL (BN) akan memastikan senarai calon yang diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah mencerminkan kepelbagaian etnik dan subetnik di negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penilaian calon bukan hanya berdasarkan kriteria boleh menang, malah turut mengambil kira kemampuan untuk mewakili komuniti tempatan secara inklusif.
“BN Sabah telah pun mengemukakan nama-nama calon kepada saya dan kita sedang meneliti dari segi kriteria boleh menang calon-calon yang dikemukakan.
“Kita juga mengambil kira kumpulan etnik dan subetnik yang akan diwakili oleh calon-calon BN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Shah Alam, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, antara proses penelitian akhir termasuklah merangkumi konsep WALI iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disukai).
Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata, pengumuman rasmi calon BN hanya akan dibuat pada hari penamaan calon, sebaik sahaja tarikh rasmi ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Setakat ini kita menunggu pengumuman SPR berkenaan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian. Kita bersedia pada bila-bila masa,” katanya.
Ahmad Zahid juga memaklumkan ramai muka baharu termasuk tokoh muda bakal ditampilkan sebagai calon termasuk mengekalkan beberapa penyandang yang menunjukkan prestasi baik.
Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN sedia bertanding lebih 40 kerusi pada PRN17 Sabah.
SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Okt ini bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan pelaksanaan PRN17 Sabah.







