
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pada Khamis mendengar keterangan saksi kanak-kanak ke-10 yang mendedahkan arwah pernah mengaku mengambil barang milik pelajar lain.
Peguam yang mewakili salah seorang tertuduh, Joan Goh berkata, saksi memaklumkan bahawa seorang pelajar sebilik Zara pernah mengadu kehilangan dompet dan menuduh arwah sebagai suspek.
“Saksi meminta seseorang untuk memanggil Zara ke biliknya.
“Apabila Zara datang, saksi bertanya dengan nada baik adakah Zara mengambil dompet rakan sebiliknya.
“Namun Zara menjawab lebih kurang, ‘dulu saya pernah buat benda macam tu, tapi sekarang tidak lagi’,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Koroner di sini.
Joan menambah, saksi turut menerangkan mengenai kewujudan kumpulan ‘Circle 19’ yang terdiri daripada 19 pelajar tingkatan empat yang berkawan rapat sejak tingkatan satu dan sering melakukan aktiviti sekolah bersama.
Joan berkata, apabila ditanya oleh peguam bapa Zara sama ada kumpulan itu pernah membuli Zara atau pelajar junior lain, saksi menafikan perkara tersebut.
“Saksi berkata mereka hanyalah sekumpulan rakan sebaya yang berkawan rapat, bukan kelab rasmi dan tiada isu jika pelajar lain mahu menyertai atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Datuk Ram Singh berkongsi keterangan saksi menjelaskan kumpulan ‘Circle 19’ lebih berperanan menegur serta membimbing pelajar tingkatan satu, bukannya menghukum.
Selain itu, saksi juga memaklumkan mengenai rutin harian di asrama, termasuk lampu dipadam pada pukul 11 malam sebelum pelajar bangun sekitar 3.30 pagi.
“Ada juga yang bangun seawal pukul 2.30 pagi untuk ke tandas atau mencuci pakaian,” katanya.
Ram menambah, jadual ketat di sekolah berasrama berkemungkinan memberi kesan terhadap tahap rehat dan emosi pelajar.





