
PUTRAJAYA – Malaysia berpotensi muncul sebagai hab utama pelaburan dan inovasi automotif di Asia Tenggara hasil sokongan infrastruktur, kedudukan strategik serta dasar kerajaan yang kondusif menerusi Belanjawan 2026.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Carsome, Aaron Kee berkata, belanjawan akan datang membuka peluang penting untuk memperkasa kepimpinan Malaysia dalam mobiliti lestari melalui langkah merangsang pertumbuhan jangka panjang, kestabilan pasaran dan daya tahan ekonomi sektor automotif.
Menurut beliau, keperluan untuk pelan hala tuju jangka panjang dilaksanakan susulan insentif cukai untuk kenderaan elektrik (EV) akan tamat tidak lama lagi bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam industri terbabit.
“Dengan pengecualian cukai untuk EV Completely Built Up (CBU) dijangka berakhir pada Disember 2025 manakala bagi EV Completely Knocked Down (CKD) pula pada 2027, Belanjawan 2026 membuka peluang untuk mengumumkan rangka insentif jangka panjang baharu yang mendorong pengeluaran tempatan.
“Memandangkan pelaburan automotif mengambil masa lama untuk berkembang dan menampung kos modal, kepastian mengenai dasar termasuk perlakuan duti eksais selepas 2027 menjadi keutamaan.
“Perkara terbabit juga penting bagi mengekalkan daya saing antara import CKD dan CBU, memandangkan pengalaman serantau menunjukkan risiko apabila insentif tidak dirangka dengan teliti,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Aaron memaklumkan, sebagai contoh pengalaman negara jiran menunjukkan kesan ketara apabila insentif tidak dirangka dengan baik, di mana kenderaan di Thailand merosot 25 peratus manakala Indonesia turun 13 peratus akibat persaingan sengit pada 2024.
Jelasnya, langkah bersasar yang membina keyakinan pembeli diperlukan bagi menggalakkan penggunaan EV menangani kebimbangan mengenai jarak perjalanan, kemudahan pengecasan, ketahanan produk dan nilai jualan semula.
“Prasarana pengecasan EV di Malaysia perlu diperluas selaras dengan cara hidup penduduk bandar. Namun, wujud ketidakpastian dan ketidakseragaman peraturan dalam pengurusan bangunan bertingkat terhadap kemudahan pengecasan EV.
“Kekangan praktikal ini menyebabkan sebahagian besar penduduk bandar berasa terbantut memiliki EV. Garis panduan jelas serta dasar sokongan seperti undang-undang ‘Right to Charge’ di kawasan tumpuan bandar termasuk kondominium akan membantu memastikan akses adil kepada pemilikan EV,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pemberian geran atau insentif cukai kepada penyedia perkhidmatan diagnostik, baik pulih dan pembaharuan bateri EV bagi meningkatkan keyakinan selepas pembelian serta melindungi integriti pasaran.
Beliau berpandangan, kerajaan juga boleh memberi penekanan terhadap pengenalan undang-undang ‘lemon law’ khusus untuk bateri EV termasuk penetapan tahap kemerosotan prestasi yang boleh diterima dalam tempoh munasabah.
“Peraturan itu bersama hukuman atau pampasan terhadap jenama yang gagal mematuhinya diyakini mampu mengurangkan kebimbangan mengenai kesihatan bateri dan jarak perjalanan,” ujarnya.
Menurut beliau, Belanjawan 2026 boleh mempertimbangkan skim pelupusan kenderaan secara berstruktur bagi menggalakkan pemilik melupuskan kereta lama dan menggantikannya dengan model baharu yang menepati piawaian keselamatan.
“Langkah itu dijangka membantu keluarga mengurangkan kos penggunaan jangka panjang, memiliki kenderaan lebih selamat selain mengurangkan kesan alam sekitar daripada sektor pengangkutan.
“Bagi memastikan dasar itu tepat sasaran, data pendaftaran kenderaan juga wajar dikategorikan mengikut julat umur. Melalui gambaran lebih jelas mengenai jumlah kereta lama di jalan raya, pembuat dasar dapat merangka intervensi yang memberi impak maksimum,” katanya.
Aaron berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan peluasan dana latihan sedia ada seperti Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada sektor automotif agar pertumbuhan pesat industri membuka peluang kepada peningkatan mobiliti sosial.
“Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab pembangunan kemahiran automotif, disokong oleh pencapaian positif dalam pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.1 peratus.
“Pada masa sama, sektor automotif ketika ini turut menyumbang lebih 700,000 pekerjaan. Ribuan juruteknik baharu diperlukan dalam bidang sistem EV, diagnostik bateri dan keselamatan voltan tinggi. Permintaan ini menuntut akses lebih luas kepada latihan teknikal khususnya bagi golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober ini.


