PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf atas keterujaan meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One (F1) di Grand Prix Singapura, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, kejadian itu berlaku secara spontan akibat sangat teruja meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 pada musim ini.
“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.
“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, tular rakaman video dari siaran langsung menunjukkan Tengku Muhammad Taufik berada dalam acara ‘semburan minuman keras’ ketika berada di atas podium Formula 1, Singapura, Ahad lalu.
Tengku Muhammad Taufik berkata, kemenangan di Grand Prix Singapura satu pencapaian yang telah lama dinanti-nantikan dalam kerjasama strategik yang terjalin antara pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, pada musim ini.
“Saya berbesar hati diberikan penghormatan untuk mewakili pasukan bagi menerima Trofi Kemenangan Konstruktor.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan diberikan kepada pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 yang bersaing di tahap tertinggi sukan permotoran.
“Berkat usaha gigih Petronas, kejayaan dikecapi sekarang dan kecemerlangan bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia,” katanya.






