PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan penambahan kuota subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) khusus untuk pemandu e-hailing, p-hailing, teksi serta pengusaha bot nelayan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kewangan (MoF) meneliti perkara itu dengan segera bagi memastikan golongan berkenaan turut menerima tambahan subsidi untuk tujuan aktiviti mereka.
“Selain itu, isu melibatkan rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu Singapura juga diberi perhatian.
“Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mewujudkan mekanisme pendaftaran khusus bagi memastikan mereka juga dapat menikmati subsidi BUDI95,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Mulai semalam, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.05 seliter menerusi BUDI95.
Semua penerima layak menikmati siling bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
Penetapan itu dibuat berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pelaksanaan peringkat ketiga BUDI95 ini menyusul kejayaan fasa pertama pada 27 September lalu yang melibatkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera, manakala peringkat kedua diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan B40.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai status pelaksanaan BUDI95 petang ini.
“Perdana Menteri turut meminta maklum balas mengenai beberapa isu tular termasuk dakwaan gangguan sistem di sebuah stesen minyak Petron di Pasir Gudang.
“Kementerian Kewangan mengesahkan masalah itu berpunca daripada peranti ‘access point’ atau WiFi di stesen berkenaan, bukannya disebabkan gangguan internet atau syarikat telekomunikasi.
“Individu yang mengalami kerugian atau kesulitan boleh terus berhubung dengan pihak Petron untuk bantuan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kuota baharu sebanyak 300 liter bagi bulan Oktober sudah dikreditkan semula mulai hari ini kepada semua penerima subsidi.
Katanya, kerajaan melalui Kementerian, MOF serta syarikat minyak akan segera mengeluarkan penafian atau penjelasan sekiranya wujud maklumat tidak tepat berhubung program itu.
Mengenai laporan berkaitan isu bekalan RON95 di Jerantut, Pahang, Fahmi berkata perkara itu akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk tindakan lanjut.



