
KUALA LUMPUR – Maxim Malaysia tampil dengan inisiatif baharu yang dinamakan ‘Drive For Inclusion’, khusus untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai pemandu e-hailing.
Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, program itu adalah komitmen syarikat dalam menyokong keterangkuman sosial sekali gus membuktikan bahawa keupayaan lebih penting daripada kekurangan.
“Bakat itu universal, tetapi peluang tidak sama rata. Dengan ‘Drive For Inclusion’, Maxim mahu memecahkan halangan, memberikan fleksibiliti serta maruah diri kepada pemandu OKU. Kami berbangga menyambut mereka dalam keluarga Maxim,” katanya.
Melalui program ini, pemandu OKU menikmati kadar komisen istimewa antara 0 hingga 5 peratus, bergantung kepada tahap aktiviti, selain kemudahan talian bantuan khas bagi memudahkan urusan pendaftaran, navigasi dan isu teknikal. Maxim turut menubuhkan rangkaian sokongan rakan sebaya untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik.
Salah seorang pemandu terawal, Abd Hashim yang mengalami kesan strok separuh badan, mengakui kehidupannya berubah selepas menyertai program ini.
“Dulu sukar cari kerja, tetapi sekarang saya ada pendapatan tetap dan keyakinan diri kembali,” ujarnya.
Pendaftaran pemandu melalui aplikasi Maxim mengekalkan proses biasa dengan tambahan pengesahan status OKU.
Dokumen seperti MyKad, lesen memandu kompeten (CDL), lesen PSV serta kad OKU perlu dikemukakan.
Bagi membantu perancangan kewangan, Maxim turut menyediakan kalkulator pendapatan digital di laman rasmi syarikat, membolehkan pemandu menganggarkan hasil bulanan dengan lebih tepat.
Inisiatif ini sekali gus menegaskan peranan Maxim bukan sekadar sebagai penyedia perkhidmatan e-hailing, tetapi juga syarikat yang prihatin terhadap peluang pekerjaan golongan berkeperluan khas.







