
JASA dan sumbangan seseorang kepada negara, walaupun selama ratusan tahun, tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi individu yang terlibat dalam rasuah atau penyelewengan harta rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap bertolak ansur terhadap kejahatan (tolerance for evil) bertentangan dengan ajaran Islam.
“Jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara.
“Sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa ini jauh daripada ajaran Islam.
“Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara.
“Saya selalu peringatkan apa yang pernah disebut pemimpin Indonesia, Muhammad Natsir sebagai budaya ‘permissiveness’. Semua okay, rosak sikit okay, curi sikit okay, sikit berapa? Bilion, okay. Jadi ‘this tolerance for evil’ inilah yang merosakkan kita,” kongsinya di Facebook pada Rabu.
Kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan isu tahanan rumah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjadi perhatian.



