
SIBU – Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) menerusi program Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI) terus menjadi platform penting dalam mendidik warga pendidikan, khususnya pelajar prasekolah hingga sekolah menengah, agar mengamalkan gaya hidup sihat sejak awal.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr. Teh Jo Hun berkata, usaha itu diperkukuh melalui inisiatif Tunas Doktor Muda dan Kelab Doktor Muda bagi melahirkan generasi celik kesihatan serta lebih peka terhadap faktor risiko penyakit tidak berjangkit.
“Kesihatan adalah aset utama yang perlu dipupuk sejak kecil. Melalui program ini, kita berharap dapat melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dan pada masa sama menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” katanya ketika merasmikan BMSS@HePiLI Bahagian Sekolah Rendah dan Prasekolah di SK Abang Ali pada Sabtu.
Beliau menegaskan, kolaborasi erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta agensi berkaitan adalah kunci memastikan amalan hidup sihat benar-benar dibudayakan dalam sistem pendidikan.
“Oleh itu, pelajar harus diperkasakan agar lebih peka terhadap risiko penyakit tidak berjangkit. Seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan mencegah itu jauh lebih baik daripada merawat,” jelasnya.
Untuk rekod, BMSS@HePiLI kategori sekolah menengah peringkat Sibu telah berlangsung lebih awal di SMK Kanowit pada 11 dan 12 September lalu.
Sepanjang sambutan BMSS di Sibu, pelbagai program diadakan termasuk senam sihat, pameran kesihatan, promosi kesihatan mental, pemeriksaan kesihatan, derma darah dan aktiviti interaktif bersama agensi kesihatan, Majlis Perbandaran Sibu serta KEMAS.






