
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pada Rabu menyaksikan ketibaan pasukan kedua pemeriksa dokumen forensik bebas bagi menjalankan analisis lanjut terhadap beberapa ekshibit yang telah ditender di mahkamah.
Wakil pasukan guaman ibu Zara, Syarulnizam Mohd Salleh berkata, pasukan tersebut terdiri daripada pemeriksa dokumen, Tay Eue Kam dan dua orang pensyarah kanan yang juga penyelidik Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa yang akan menjalankan pemeriksaan bermula hari ini sehingga Jumaat.
“Mereka membawa beberapa peralatan forensik lab, makmal forensik portable dan mudah alih, dari Kuala Lumpur ke sini.
“Apa yang kita ingin capai dengan pemeriksa dokumen adalah untuk memeriksa lebih banyak lagi aspek dokumen yang telah ditender di mahkamah.
“Minggu lalu, kehadiran pakar, Dr Linthini Gannetion yang khusus kepada pemeriksaan analisis tulisan tangan dan juga memeriksa tulisan di kertas-kertas dan buku yang telah ditender.
“Minggu ini, pasukan pemeriksa forensik memberi tumpuan kepada analisis menyeluruh terhadap dokumen yang ditender sebagai ekshibit, merangkumi aspek dakwat, jenis pen yang digunakan, lipatan, serta sama ada terdapat kesan ubah suai, penambahan atau pengurangan pada helaian berkenaan,” katanya kepada media ketika ditemui di Perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu, di sini pada pagi Rabu.
Tambah beliau, pasukan guaman turut mendapatkan replika buku Love and Peace yang telah ditender di mahkamah untuk demonstrasi sendiri dan tujuan pembinaan semula.
Jelasnya, antara ekshibit yang diteliti termasuk helaian kertas bertanda Y1 hingga Y15 yang sebelum ini didakwa dikoyakkan daripada buku berkenaan.
Menurut Syahrulnizam, pemeriksaan lanjut dijangka dilakukan esok selepas pasukan forensik mendapat akses penuh kepada dokumen yang telah dihantar bagi analisis DNA.
“Kerana kita tahu, dalam kes ini, ada nilai yang berat dan tinggi yang disimpan ke atas dokumen-dokumen tersebut.
“Diari, tulisan, yang mungkin menunjukkan ia adalah refleksi keadaan mental arwah pada ketika itu,” ujar beliau.
Katanya lagi, tujuan utama pemeriksaan ini adalah untuk mengenal pasti sama ada dokumen berkenaan telah diubah atau ditambah serta memastikan integriti bahan bukti.
“Jadi, sebelum kita muktamadkan kesahihan dokumen tersebut, kita perlu kepastian dokumen mana yang perlu kita rujuk, dokumen mana yang kita perlu asingkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, pasukan forensik tersebut menggunakan kaedah dakwat termasuk sinar UV, maestar, electrostatic, inframerah dan ultraviolet yang menggunakan peralatan khas.
Jelasnya, kaedah itu dapat mengesan sama ada tulisan pernah dipadam atau tidak, sebab ada tulisan mungkin dipadam, ia boleh dikesan.
“Mereka ada peralatan untuk mengecam, mengesan kesan cap jari ke atas dokumen-dokumen tetapi ia memerlukan proses pengendalian yang ketat.
“Sekiranya terlalu ramai individu memegang sesuatu dokumen, ia boleh menyukarkan siasatan, justeru kes ini wajar dijadikan kesedaran tentang kepentingan pengendalian bukti dengan lebih baik agar nilai siasatan tidak terjejas pada masa hadapan,” katanya.





