
SANDAKAN – Barisan Nasional (BN) terus membuktikan bahawa perjuangan parti itu bukan sekadar retorik politik, sebaliknya lahir daripada tindakan nyata demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Sabah.
Pengerusi BN Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN sejak dahulu menjadi tulang belakang pembangunan negara dan negeri, dengan pelbagai dasar serta projek jangka panjang yang kini dinikmati rakyat.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, semangat perjuangan BN tetap konsisten, membela rakyat tanpa mengenal penat dan tanpa berkompromi terhadap amanah.
“BN tidak sekadar menabur janji, tetapi membuktikan komitmen melalui usaha membawa peruntukan pembangunan ke Sabah serta memperjuangkan isu rakyat di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Suhaimi menegaskan, BN Libaran bersama kepimpinan UMNO Sabah akan terus menjadi suara rakyat dengan memastikan setiap permasalahan diberi perhatian serta setiap peluang pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat tanpa terkecuali.
“Janji kita bukan untuk memancing undi semata-mata, tetapi berpaksikan rekod pencapaian dan bukti nyata di lapangan.
“BN terbukti mampu, BN terbukti berkhidmat. Inilah bukti, bukan janji,” katanya.







