
KERAJAAN Perpaduan MADANI sekali lagi membuktikan bahawa setiap dasar yang dilaksanakan bukan sekadar janji kosong, tetapi benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah bukti jelas bagaimana kerajaan ini sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat, tanpa mengira pendapatan atau kedudukan sosial.
Rakyat bakal nikmati petrol RM1.99 seliter
Bermula 30 September 2025, rakyat Malaysia boleh terus menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran sebenar.
Inilah erti sebenar kerajaan prihatin: memastikan kos sara hidup rakyat terus terkawal dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
Berbeza dengan bukan warganegara yang perlu membayar harga pasaran sekitar RM2.60 seliter, rakyat Malaysia diberikan keistimewaan kerana inilah hak kita, inilah keutamaan kita.
Subsidi bersasar merupakan dasar yang adil dan mampan di mana sistem BUDI95 dirangka secara teliti. Semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu aktif secara automatik layak.
Had penggunaan sebanyak 300 liter sebulan ditetapkan adalah bagi mengelakkan penyalahgunaan subsidi dan juga ketirisan serta pembaziran.
Pemandu e-hailing diberi pengecualian khas. Ini membuktikan bahawa pihak kerajaan memahami kesusahan pengusaha e hailing yang terpaksa menanggung kos operasi harian yang tinggi.
Langkah ini adalah bukti kerajaan bijak menguruskan fiskal negara, memastikan subsidi tidak lagi bocor kepada pihak yang tidak layak.

Menangkis fitnah pembangkang
Seperti biasa, pembangkang akan cuba menangguk di air keruh. Akan ada suara-suara sumbang yang menuduh kerajaan ‘mencatu petrol rakyat’ atau kononnya 300 liter itu tidak mencukupi.
Hakikatnya, statistik jelas menunjukkan purata penggunaan petrol rakyat Malaysia berada di bawah paras tersebut. Hanya segelintir golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan lebih golongan inilah yang sebenarnya selama ini menikmati subsidi berlebihan.
Kerajaan MADANI tegas mempertahankan subsidi adalah untuk rakyat marhaen, bukan untuk golongan kaya raya atau bukan warganegara.
PMX, simbol keprihatinan rakyat
Dasar BUDI95 ini sekali lagi menyerlahkan ketokohan PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Beliau tidak tunduk kepada tekanan kapitalis besar yang mahu pasaran minyak dilepaskan sepenuhnya tanpa kawalan. Sebaliknya, beliau memilih jalan yang adil: subsidi untuk rakyat, tanggungjawab fiskal untuk negara.
Inilah perbezaan besar antara Kerajaan MADANI dan pentadbiran lampau. Pas dan PN hanya pandai melaungkan slogan, tetapi gagal membawa pelan ekonomi yang jelas.
Hari ini, rakyat dapat melihat siapa yang benar-benar bekerja untuk kesejahteraan mereka.
BUDI95 bukan sekadar program subsidi petrol, ia adalah simbol dasar MADANI yang adil, saksama dan berpaksikan rakyat.
Kerajaan ini tidak membiarkan rakyat menanggung beban kenaikan harga minyak dunia, sebaliknya tampil dengan solusi praktikal yang menjaga kepentingan rakyat majoriti.
Subsidi untuk rakyat, bukan untuk orang asing. Keadilan untuk marhaen, bukan untuk kapitalis. Inilah Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.




