KOTA MARUDU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah dengan penuh keyakinan menyatakan sokongan kepada Ketuanya, Zaidi Jatil untuk dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Ketua-Ketua AMK Sabah berkata, sokongan itu diberi berdasarkan rekod kepimpinan Zaidi yang konsisten, keberanian mengangkat suara rakyat dan kesungguhannya dalam kerja-kerja kemasyarakatan di Kota Marudu, khususnya di kawasan Bandau.
“Zaidi telah membuktikan komitmen kepimpinan beliau dalam memperjuangkan isu-isu belia, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi setempat.
“Beliau bukan sahaja seorang pemimpin politik, tetapi juga aktivis masyarakat yang sentiasa turun padang bersama rakyat menghadapi cabaran seperti banjir, isu kemudahan asas, memperjuangkan isu kemudahan akses pendidikan, menyantuni orang kampung dan kerap melaksanakan program-program pembangunan belia.
“Keupayaan beliau berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat termasuklah belia, wanita serta komuniti pedalaman membuktikan beliau adalah calon yang dekat dengan denyut hati rakyat,” menurutnya dalam kenyataan bersama Ahli Majlis Pimpinan AMK Sabah, pada Isnin.
AMK Sabah juga percaya bahawa Zaidi membawa gagasan politik yang berkemajuan dan menyeluruh selaras dengan semangat reformasi dan Malaysia MADANI yang diperjuangkan oleh PKR.
“Rekod kerja lapangan beliau di Bandau telah memperlihatkan keprihatinan tulen terhadap masalah setempat dan ini menjadikan beliau calon yang bukan sahaja berwibawa, malah mampu membawa suara rakyat Bandau ke DUN Sabah.
“Dengan ini, AMK Sabah menyeru kepada pucuk pimpinan parti agar Zaidi diberikan peluang berikutan kini masanya untuk kita memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat, membela kepentingan rakyat dan membawa harapan baharu dengan memberikan kepercayaan kepada anak muda
untuk bersama memimpin Sabah,” katanya.
BN sangat terbuka bekerjasama dengan PH di Melaka – Zahid
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) sangat terbuka untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.…
Lebih lanjut





