
BALIK PULAU – Malaysia kekal sebagai antara negara yang menyediakan harga petrol RON95 paling rendah di dunia, selepas kerajaan bersedia melaksanakan penyasaran subsidi bahan api mulai 30 September ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga petrol RON95 akan dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter, tanpa mengira turun naik harga minyak global.
“Pada harga RM1.99 seliter, Malaysia adalah antara yang termurah di seluruh dunia.
“Walaupun harga diselaraskan mengikut pasaran, kita masih akan berada di kedudukan antara yang paling rendah di dunia,” katanya semasa lawatan kerja di Pulau Betong di sini, sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat MADANI.
Mengulas lanjut, Amir berkata, harga RON95 RM1.99 antara yang termurah di dunia.
Ditanya sama ada harga akan turun lagi jika harga minyak mentah global jatuh, Amir menjawab tidak.
“RM1.99 adalah harga bersubsidi, jadi harganya kekal. Ia tidak akan turun lagi,” katanya.
Beliau juga berkata, dengan rasionalisasi subsidi, kerajaan menjangka dapat menjimatkan perbelanjaan dengan mengurangkan ketirisan daripada golongan yang tidak layak dan aktiviti penyeludupan bahan api ke luar negara.
Katanya, penjimatan itu akan disalurkan semula kepada program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta untuk menaik taraf klinik dan sekolah di luar bandar.
“Jika kita tidak laksanakan rasionalisasi, bajet untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan akan berkurangan.
“Berdasarkan unjuran, jika harga minyak mentah global berada pada AS$75 (RM353) setong, penjimatan tahunan yang dijangka adalah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya.
Amir berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu bukan satu perkara yang mudah kerana ia membabitkan banyak pihak.
“Kerajaan mengambil masa untuk mengkaji sistem dan cara terbaik untuk melaksanakannya agar subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak.
“Kali ini, pendekatan kita adalah semua warga Malaysia layak mendapat subsidi RON95. Bermula 30 September ini, harga RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter, seperti yang dijanjikan Perdana Menteri.
“Warga asing tidak layak. Ini adalah keistimewaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Setiap warga negara yang layak akan mendapat 300 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.
Amir berkata, kajian menunjukkan 300 liter adalah dalam lingkungan yang sesuai.
Jelas beliau, bagi pemandu e-hailing dan p-hailing, mereka dibenarkan untuk membuat rayuan bagi kuota yang lebih tinggi.







