
KUANTAN – Kerajaan Pahang bersetuju dengan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu diharamkan menyertai tender atau perolehan di agensi masing-masing.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dengan Tatacara Ahli Majlis PBT Negeri Pahang dipinda bagi memasukkan cadangan penambahbaikan berkenaan.
Perkara itu adalah hasil khidmat nasihat dicadangkan SPRM Pahang dalam satu sesi pembentangan khas melaksanakan cadangan penambahbaikan tatakelola bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada 7 Ogos lalu.
Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh integriti dan kecekapan dalam pengurusan pentadbiran negeri.
“Antara isu utama dibincangkan adalah berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja Ahli Majlis dalam proses pemilihan tender dan kontrak.
“Maka satu cadangan penambahbaikan dikemukakan bagi memperkukuh aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan itu.
“Cadangan khidmat nasihat ini dilaksanakan berikutan satu siasatan dijalankan SPRM Pahang pada tahun 2022 mengenai isu dikatakan berlaku salah guna kuasa oleh Ahli Majlis PBT di Pekan.
“Namun selepas siasatan dilakukan mendapati tiada sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku.
“Tetapi SPRM mendapati terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sistem serta prosedur pengurusan perolehan atau tender dengan dilaksanakan penyiasatan tatakelola,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mohamad Shukor berkata, komitmen diberikan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan ini adalah suatu perkara yang amat positif dan membanggakan.
“Cadangan ini mampu membuat perubahan dalam menjaga tahap pengurusan tatakelola, selain menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah dalam kalangan Ahli Majlis PBT khususnya dalam soal perolehan tender.
“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan SPRM dan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh tadbir urus serta membudayakan integriti dalam pentadbiran awam,” katanya.



