
SEPANG – Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam reformasi perkhidmatan awam dengan menekankan tatakelola baik melalui penambahbaikan inisiatif sedia ada dan perundangan baharu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tindakan dilakukan dengan kerajaan memperkenalkan Lima akta baharu dan beberapa pindaan undang-undang bagi memperkukuh tatakelola sektor awam serta memastikan dana rakyat diuruskan dengan lebih berhemat dan telus.
Katanya, antara yang diperkenalkan adalah Akta Kebertanggungjawaban Fiska, Pindaan Akta Audit 1957, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan, Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Perolehan Kerajaan.
“Dalam aspek daya saing, penarafan World Competitiveness Ranking 2025 oleh Institut Antarabangsa bagi Pengurusan Pembangunan (IMD) menyaksikan Malaysia melonjak naik sebanyak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 berbanding tempat ke-34 pada tahun lalu.
“Peningkatan prestasi Malaysia dalam penarafan IMD turut menunjukkan peningkatan sebanyak 12 anak tangga bagi indikator Sogokan dan Rasuah, menandakan keyakinan komuniti perniagaan terhadap komitmen Kerajaan dalam pembanterasan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4, pada Khamis
Turut hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, pencapaian itu adalah hasil komitmen penjawat awam dalam meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Usaha terus dipertingkat melalui Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang saya terajui dengan memberi fokus kepada elemen penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan serta komunikasi strategik,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri memaklumkan, Malaysia perlu bersedia berdepan cabaran tatakelola di era kecerdasan buatan (AI) terutama dalam pencegahan rasuah sejajar dengan sasaran negara untuk menjadi ekonomi berteraskan AI menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Menurut beliau, kepantasan perkembangan teknologi pintar di era Revolusi Industri 4.0 mengubah cara manusia berkomunikasi, bekerja dan membuat keputusan sekali gus menuntut sektor awam meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi implikasi baharu yang dibawa AI.
“Perdana Menteri dalam pengumuman RMKe-13 menekankan tatakelola baik sebagai kunci untuk mencapai pembangunan inklusif dan mampan. Penggunaan AI dalam pencegahan rasuah semakin meluas di peringkat global khususnya dalam sektor awam, perolehan dan penguatkuasaan.
“Korea Selatan misalnya memperkukuh sistem e-perolehan melalui Korea Online e-Procurement System yang menggunakan AI dan blockchain untuk meningkatkan ketulenan dokumen serta mencegah manipulasi,” katanya.
Shamsul Azri berkata, Suruhanjaya Anti-Rasuah dan Hak Sivil Korea Selatan (ACRC) turut membangunkan ‘AI Risk Diagnosis Prediction Platform’ bagi menilai risiko serta mengesan kelemahan sistem tidak berintegriti yang boleh mengancam keselamatan awam.
“Pendekatan proaktif ini membuktikan bahawa teknologi AI perlu dimanfaatkan dalam sektor awam, bukan sahaja bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti penyampaian perkhidmatan, tetapi juga sebagai benteng awal mengekang risiko rasuah.
“Keupayaan AI menganalisis ribuan data membolehkan ia mengesan trend transaksi kewangan mencurigakan serta memberi amaran awal terhadap kemungkinan berlakunya penyelewengan,” katanya.








