PUTRAJAYA – Malaysia menyasarkan potensi jualan eksport RM230 juta menerusi penyertaan strategik di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 yang bakal berlangsung dari 17 hingga 21 September ini di Nanning, China.
Penyertaan tahun ini diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan menghimpunkan lebih 70 organisasi, termasuk tiga kementerian, enam agensi utama kerajaan dan pelbagai pemain industri.
Pavilion Malaysia bakal mengetengahkan kepelbagaian produk serta perkhidmatan berimpak tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, reputasi Malaysia bukan sahaja pada produk popular seperti durian, kopi putih dan sarang burung walit, malah meliputi pelbagai sektor bernilai tambah.
“Pada CAEXPO kali ini, kita akan mempamerkan tawaran lebih luas merangkumi pendidikan, kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, bahan binaan serta sektor berteknologi tinggi seperti logistik, penyelesaian pengedaran, teknologi dan kecerdasan buatan.
“Kepelbagaian ini membuktikan kemampuan Malaysia memenuhi permintaan pasaran China dan ASEAN yang semakin berkembang.
“Matlamat kami adalah memposisikan Malaysia sebagai rakan dagang yang berdaya saing, diyakini dan berwawasan ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi mengoptimumkan penyertaan kali ke-22, Matrade turut merancang siri program promosi berimpak tinggi termasuk sesi padanan perniagaan, pameran produk dan aktiviti jaringan industri.
Langkah itu dijangka meningkatkan keterlihatan jenama Malaysia serta memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan dagang serantau.
Sebagai usaha mempertingkatkan hubungan perdagangan dua hala, Matrade dengan kerjasama China Construction Bank (CCB) dan Sekretariat CAEXPO akan menganjurkan Sesi Padanan Perniagaan Malaysia-China 2025.
Acara itu bakal menyaksikan lebih 130 mesyuarat perniagaan bersemuka antara pengeksport Malaysia dan pembeli China, sekali gus membuka peluang rundingan segera bagi memeterai perjanjian baharu.
Edisi kali ini juga mencatat sejarah sebagai penganjuran fizikal pertama selepas diadakan secara maya sebelum ini.





